KLANG: Kerajaan memberi jaminan bekalan beras negara ketika ini berada dalam keadaan stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat sehingga penghujung tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan mengambil langkah berterusan bagi memastikan kestabilan bekalan makanan ruji itu dapat dikekalkan untuk jangka panjang.
“Bekalan beras ketika ini adalah stabil dan dijangka kekal stabil sehingga hujung tahun ini. Kerajaan juga akan terus memastikan kestabilan bekalan untuk tahun hadapan," katanya ketika berucap pada Program Peluncuran Tuaian Nanas di Jalan Kebun Nanas, Kota Raja, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemantauan bekalan beras di pasaran dilakukan secara berterusan bagi memastikan pengedaran berjalan lancar dan pengguna mendapat akses kepada bekalan mencukupi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau membeli dalam kuantiti berlebihan kerana situasi bekalan masih terkawal.
Katanya, pengguna disaran membeli seperti biasa bagi mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan serta kestabilan pasaran tempatan.