Sekurang-kurangnya 12 maut manakala enam lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang di bangunan kerajaan Virginia, Amerika Syarikat.

Menurut polis, suspek dalam kejadian tersebut merupakan bekas pekerja di Pusat Perbandaran Virginia Beach, di mana insiden tersebut berlaku.

Ketua Jabatan Polis Virginia Beach James Cervera, mengesahkan 12 orang awam maut di tempat kejadian, manakala beberapa lagi mangsa cedera parah.

Jelasnya,enam daripada mangsa telah dihantar ke Hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.

"Enam daripada mangsa telah pun dihantar ke hospital, saya tidak dapat maklumat lanjut bagamimana keadaan mangsa ketika ini."

"Pihak kami (polis) mengetahui kejadian ini pada jam 4 petang tadi(waktu tempatan).Suspek yang juga bekas kakitangan perkhidmatan awam, saya tidak akan dedahkan nama beliau ketika ini. Dia dikatakan telah melepaskan tembakan rambang ke arah mangsa."

"Anggota polis telah sampai ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan dari orang awam. Ketika masuk ke dalam bangunan, suspek telah melepaskan tembakan ke arah salah seorang pegawai polis. Bagaimanapun suspek berjaya ditembak mati selepas itu." katanya kepada akhbar tempatan.

Suspek yang identiti tidak didedahkan itu dilaporkan telah diberhentikan kerja tanpa sebab munasabah.

Seorang anggota polis turut cedera dalam insiden terbabit.

"Ini merupakan hari yang penuh tragedi buat komuniti Virginia Beach.

"Saya turut bersimpati terhadap mangsa dan keluarga mereka. Saya kini dalam perjalanan ke Virginia Beach," kata Gabenor Virginia, Ralph Northam.

Datuk Bandar Virginia Beach, Bobby Dyer pula menyifatkan kejadian tersebut sebagai 'peristiwa hitam' dalam sejarah bandar itu.

Media tempatan melaporkan pihak FBI turut berada di lokasi kejadian bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.