DUNIA
13 anggota tentera Pakistan terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri

Seramai 13 anggota tentera Pakistan terbunuh akibat serangan pengebom bunuh diri di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut negara itu berhampiran sempadan Afghanistan pada Sabtu .
ISLAMABAD/ISTANBUL: Seramai 13 anggota tentera Pakistan terbunuh akibat serangan pengebom bunuh diri di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut negara itu berhampiran sempadan Afghanistan pada Sabtu manakala 14 pengganas terbunuh dalam operasi susulan oleh tentera, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan tentera Pakistan.
Menurut kenyataan itu, tiga orang awam termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita cedera parah dalam serangan berkenaan.
Tentera Pakistan menuduh India sebagai dalang di sebalik serangan itu.
"Dalam serangan pengecut yang dirancang dan diatur oleh India serta dilaksanakan melalui proksinya Fitna al Khwarij, sebuah konvoi Pasukan Keselamatan telah disasarkan hari ini di kawasan Mir Ali, Daerah Waziristan Utara," menurut kenyataan itu.Menolak dakwaan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India berkata: "Kami telah melihat kenyataan rasmi tentera Pakistan yang cuba menyalahkan India atas serangan di Waziristan pada 28 Jun. Kami menolak kenyataan ini dengan penghinaan yang sewajarnya."
Serangan itu merupakan antara serangan paling buruk ke atas pasukan keselamatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengutuk sekeras-kerasnya" serangan itu dan memuji tentera atas operasi yang berjaya membunuh 14 pengganas, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Kumpulan pengganas tempatan yang diketuai Hafiz Gulbahadar dari Waziristan Utara mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Islamabad menuduh kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang didakwa berpangkalan di Afghanistan melancarkan serangan pengganas di Pakistan manakala Kabul menafikan serangan seperti itu dilancarkan dari wilayahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami