Ringkasan AI
- Seorang pengetua maahad tahfiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan makanan lebih RM16,000 pada Februari 2024.
- Tertuduh didakwa memperdayakan Jabatan Agama Islam Melaka dengan dokumen palsu berkaitan jumlah hari pembekalan makanan untuk 20 pelajar.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan, dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
MELAKA: Seorang pengetua maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makanan berjumlah lebih RM16,000, dua tahun lepas.
Abd Kadir Husin, 46, didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Agama Islam Melaka menerusi dokumen palsu bagi menuntut Bayaran Membekal Makanan Bermasak Untuk Pelajar Maahad Tahfiz Bistari Pulau Besar Melaka bagi bulan Februari 2024.
Dokumen palsu itu berkaitan jumlah hari tuntutan perkhidmatan membekal makanan bermasak bagi 20 pelajar pada bulan Februari 2024 berjumlah RM16,894.00, yang mana sebenarnya pembekalan makanan bermasak bagi 20 pelajar yang layak dituntut pada Februari 2024 hanya sembilan hari.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jabatan Agama Islam Melaka, Bukit Palah di sini pada 29 Feb 2024 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali ke pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.
Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan jaminan hanya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri sebulan sekali ke pejabat SPRM Melaka dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Jan depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA