Ringkasan AI
- Malaysia menggesa kerjasama global diperkukuh dalam menangani perubahan iklim, termasuk peningkatan sokongan kewangan negara maju kepada negara membangun.
- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menekankan keperluan multilateralisme, pembiayaan sepadan aspirasi global, dan pelaksanaan berkesan tindakan iklim.
- Malaysia bersedia bekerjasama secara konstruktif di COP31 untuk memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim.
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa memperkukuh kerjasama global dalam menangani perubahan iklim, termasuk menerusi peningkatan sokongan kewangan oleh negara maju kepada negara membangun.
Seruan itu disampaikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye, hari ini.
Beliau berkata, usaha menangani perubahan iklim memerlukan pendekatan multilateralisme serta tindak balas global yang lebih beraspirasi, seimbang dan berteraskan pelaksanaan.
Menurutnya, Malaysia turut menyeru negara maju meningkatkan sokongan berasaskan geran kepada negara membangun yang mempunyai kepelbagaian biologi bagi memperkukuh usaha pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.
Katanya, kerjasama antarabangsa perlu menjadi pemacu lebih kukuh kepada usaha penyahkarbonan, meningkatkan daya tahan iklim serta menyokong pembangunan mampan.
Dalam pada itu, Arthur berkata hubungan antara tindakan iklim dan perdagangan antarabangsa memerlukan penglibatan yang konstruktif, seimbang dan berpandangan jauh.
Beliau menegaskan pembiayaan iklim serta kaedah pelaksanaan perlu sepadan dengan skala aspirasi global, selain menyediakan mekanisme lebih berkesan bagi membolehkan negara membangun melaksanakan tindakan iklim.
Menurutnya, prinsip Tanggungjawab Bersama tetapi Berbeza serta Keupayaan Masing-masing (CBDR-RC) perlu terus menjadi asas kepada usaha kolektif menangani perubahan iklim.
Sementara itu, beliau berkata fenomena El Nino tahun ini menjadi peringatan terhadap risiko perubahan iklim, termasuk haba melampau, kemarau berpanjangan, kekurangan bekalan air serta gangguan terhadap sektor pertanian.
Fenomena itu turut meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan.
Arthur berkata Malaysia bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak bagi memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim.
COP31 yang berlangsung dari 9 hingga 20 November ini menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, perunding, saintis dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pembiayaan iklim.
Persidangan itu bertemakan usaha menterjemahkan komitmen iklim kepada hasil yang boleh diukur.
Beliau berharap COP31 menjadi titik permulaan kepada pembaharuan komitmen global dalam merapatkan jurang pelepasan, memperkukuh daya tahan iklim dan menterjemahkan aspirasi bersama kepada kemajuan nyata demi generasi masa kini dan akan datang.