LIMA: Sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong terhempas di Peru pada Sabtu, mengorbankan kesemua 13 individu yang berada di dalam pesawat berkenaan, menurut laporan media tempatan dan pihak berkuasa negara itu.
Pesawat tersebut sedang melakukan penerbangan di kawasan tapak arkeologi terkenal Garisan Nazca (Nazca Lines) sebelum terhempas.
Seramai 11 penumpang dan dua juruterbang berada di dalam pesawat ketika kejadian.
Punca nahas serta identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.
Garisan Nazca merupakan antara tarikan pelancongan utama di selatan Peru dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kawasan itu terkenal dengan lukisan geoglif purba berskala besar yang terbentuk di permukaan padang pasir.
Menurut Ketua Polis, Jorge Andrade, tiada mangsa yang terselamat dalam insiden berkenaan.
“Berdasarkan tahap kemusnahan nahas ini, tiada mangsa yang terselamat. Setakat ini, empat mayat telah ditemui,” katanya.
Nahas berlaku kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan di wilayah Pueblo Viejo selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang di bandar Pisco.
Seorang pegawai Jabatan Penerbangan Awam Peru, William Acosta berkata, beberapa pelancong warga Itali dipercayai antara mangsa yang terkorban.
Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menyembur air ke arah bangkai pesawat yang masih mengeluarkan asap.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak berkuasa wilayah Nasca melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas tragedi itu serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut kenyataan tersebut, pesawat yang terlibat dimiliki syarikat penerbangan tempatan Peru, Aerodiana.
Ini bukan kali pertama pesawat pelancong terhempas di kawasan Garisan Nazca.
Pada 2022, sebuah lagi pesawat kecil yang membawa pelancong terhempas ketika melakukan penerbangan di kawasan sama, mengorbankan tujuh individu.
Sebelum itu, pada 2010, sebuah pesawat pelancong turut terhempas di lokasi berkenaan, menyebabkan enam kematian. - Agensi