Ringkasan AI
- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi agenda utama dalam manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka.
- Melaka dirancang sebagai pusat kecemerlangan TVET Malaysia, dengan 67 kolej TVET dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka sebagai institusi utama.
- Kadar kebolehpasaran graduan TVET dan universiti negeri Melaka mencapai 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
MASJID TANAH: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dimasukkan sebagai antara agenda utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang dijadual diumumkan pada Jumaat.
Pengerusi BN Melaka, yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu bertujuan menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan TVET Malaysia.
Jelas beliau, perancangan berkenaan membolehkan negeri itu menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk menceburi bidang kemahiran dan memenuhi keperluan tenaga kerja industri.
“Pastinya kita akan menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan TVET Malaysia. Maka saya akan mengambil kesempatan ini (untuk dimasukkan dalam manifesto BN) bagi menjadikan Melaka pusat TVET utama di Malaysia.
“…. dan, TVET ini akan dimasukkan dalam manifesto,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Pendidikan Tinggi TVET MARA Negeri Melaka peringkat Masjid Tanah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata usaha itu penting memandangkan Melaka mempunyai institusi pendidikan dan latihan TVET yang mampu membekalkan tenaga kerja mahir serta separa mahir kepada pelabur yang melabur di negeri berkenaan.
Beliau berkata terdapat 67 kolej TVET di Melaka yang boleh menjadi platform melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong perkembangan sektor industri dan ekonomi negeri.
“Melaka mempunyai Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah diiktiraf sebagai universiti teknikal pertama di Malaysia.
“Maka, kita akan mengambil kesempatan ini untuk mengangkat martabat Melaka dalam membekalkan tenaga kerja atau sumber manusia kepada pelabur-pelabur yang masuk ke Melaka,” ujarnya.
Menurutnya, agenda TVET juga selari dengan keperluan pembangunan belia kerana bidang itu membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk memilih laluan kerjaya berdasarkan kemahiran dan minat masing-masing.
Dalam masa sama, katanya kadar kebolehpasaran graduan TVET dan universiti negeri itu berada pada tahap tinggi, iaitu sekitar 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Selain itu, pembangunan pendidikan dan modal insan turut menjadi antara tumpuan kerajaan negeri, dengan lebih RM196 juta disalurkan bagi pembangunan sekolah, bantuan pendidikan dan modal insan yang memberi manfaat kepada lebih 140,000 anak Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.