NEW DELHI: Parlimen India menggantung 14 Ahli Parlimen pada Khamis kerana didapati "gagal mengawal kelakuan" semasa dewan sedang bersidang.

Kesemua Ahli Parlimen itu daripada parti pembangkang. Seramai 13 daripadanya ahli Dewan Rakyat (Lok Sabha) manakala seorang lagi ahli Dewan Negara (Rajya Sabha).

Mereka melakukan protes di Parlimen susulan insiden dua pemuda menceroboh Lok Sabha.

Kedua-dua pemuda itu kemudiannya ditahan oleh anggota keselamatan.

Seorang lagi lelaki dan seorang wanita yang turut melakukan bantahan di luar Parlimen turut ditahan.

Keempat-empat mereka kini dalam tahanan polis selama tujuh hari.

-- BERNAMA