Seorang pelajar di Amerika Syarikat menikam 14 orang dan dua daripadanya cedera parah dalam satu amukan apabila akhirnya dia diberkas menurut polis.

Rakaman televisyen menunjukkan seorang remaja kulit putih, rambut berwarna merah, berjanggut serta digari meninggalkan kampus Cyfar, Kolej Lone Star yang terletak kira-kira 96.6 km utara Houston.

Pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai seorang lelaki berkeliaran dan telah menikam orang ramai pada jam 11 pagi menurut Syerif Adrian Garcia.

"Seorang suspek lelaki berkulit putih telah ditahan dan kami percaya lelaki berkenaan berusia 21 tahun dan kini masih menuntut," jelas beliau.

"Kami masih tidak mengetahui jenis senjata yang digunakan," tambah beliau.

Pihak berkuasa berkata 14 mangsa telah ditikam dalam serangan tersebut yang mana berlaku di kawasan Pusat Sains Kesihatan Kolej berkenaan.

Empat mangsa yang tercedera dibawa ke hospital melalui helikopter dan dua mangsa dilaporkan kritikal.

Polis berkata penyerang telah pergi dari satu bangunan ke bangunan yang lain untuk menikam mangsa dalam keadaan kampus yang huru-hara itu.

Timbalan Syerif Thomas Gilliland berkata laporan awal menunjukkan penyerang telah ditumpaskan oleh seorang pelajar dan polis memberkas suspek tidak lama kemudian.

Houston Chronicle melaporkan suspek ditumpaskan oleh Ryan Ballard pelajar tahun dua dan seorang pelajar lain.

Ballard memberitahu dia terlihat tompokan darah di tangga sewaktu perjalannya ke kelas di Pusat Sains Kesihatan.

"Pada mulanya saya ingatkan pendarahan hidung biasa sehinggalah saya melihat lebih banyak kesan darah," jelas Ballard, 19, yang terkejut dengan insiden berkenaan.

Menurut Ballard, dia melihat tiga orang gadis sedang menjerit dan menangis, seorang daripada mereka memegang lehernya yang berdarah lalu terdengar seseorang menjerit, "Tahan dia!" sebelum dia melihat suspek lari meninggalkan bangunan tersebut."

Ballard yang mempunyai ketinggian 193.04 sentimeter dan berat kira-kira 106.6 kg berkata dia menumbangkan suspek selepas pelajar lain dapat menangkap lelaki tersebut.

"Ianya amat mengejutkan," jelas beliau. "Jika kami tidak memberkas dia, apa pula yang akan berlaku nanti?"

Kolej tersebut telah diarah tutup selepas amaran berjaga-jaga dikeluarkan sementara pelajar meninggalkan kampus untuk penyiasatan lanjut dijalankan.

Satu pemberitahuan melalui laman sesawang kolej berkenaan memberitahu kejadian berkenaan berlaku di Pusat Sains Kesihatan dan masih diklasifikasikan sebagai kawasan jenayah. Penyiasatan sedang dijalankan.

Polis menafikan terdapat laporan kemunculan penyerang kedua.

Robert Rasa sukarelawan di Jabatan Bomba CyFair menggambarkan kejadian berkenaan sebagai sesuatu yang menggemparkan.