Skip to main content

Dunia

17 maut termasuk tiga kanak-kanak maut dalam serangan Rusia di Zaporizhzia, Ukraine

Petugas penyelamat menjalankan operasi di lokasi sebuah bangunan pangsapuri yang rosak akibat serangan udara Rusia, ketika serangan Russia ke atas Ukraine berterusan, di Zaporizhzhia, Ukraine, pada Sabtu. - Gambar Reuters
Petugas penyelamat menjalankan operasi di lokasi sebuah bangunan pangsapuri yang rosak akibat serangan udara Rusia, ketika serangan Russia ke atas Ukraine berterusan, di Zaporizhzhia, Ukraine, pada Sabtu. - Gambar Reuters

Advertisement

ISTANBUL: Serangan semalaman oleh Rusia dan Ukrain mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk tiga kanak-kanak, manakala lebih 20 yang lain cedera, kata pegawai pada Sabtu, lapor  Anadolu Ajansi.

Di Ukraine, serangan Rusia ke atas Bandar Zaporizhzhia di tenggara negara itu mengorbankan 17 orang, termasuk tiga kanak-kanak, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine menerusi aplikasi Telegram.

Pengerusi Bersama Majlis Pertahanan Wilayah Zaporizhzhia, Ivan Fedorov berkata, 16 orang cedera dalam serangan Rusia di Zaporizhzhia, sambil menambah bahawa usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dan nasib enam lagi mangsa masih belum diketahui.

Di Rusia, serangan dron Ukraine ke atas Wilayah Rostov di selatan negara itu mencederakan enam orang, kata Gabenor Wilayah Yury Slyusar.

Beliau berkata, beberapa bangunan pangsapuri dan rumah persendirian di Rostov-on-Don rosak, di samping sebuah bangunan baharu yang tidak berpenghuni di Bataysk serta dua kapal di Azov. Tiada kecederaan dilaporkan di atas kapal berkenaan setakat ini.

Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin menerusi Telegram memaklumkan bahawa 403 dron menuju ke Wilayah Moscow semalaman, dengan "sebahagian besar" daripadanya berjaya dineutralkan oleh pasukan pertahanan udara pada jarak jauh, manakala 25 dron dimusnahkan ketika menghampiri ibu negara Rusia itu.

Di Wilayah Samara, Gabenor Vyacheslav Fedorishchev menerusi platform media sosial Rusia, Max memaklumka,n serangan dron semalaman tidak menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan, dan perkhidmatan kecemasan sedang bertindak di lokasi kejadian selepas "puluhan" dron ditembak jatuh di wilayah berkenaan.

Kakitangan Turus Am Ukraine mendakwa, pihaknya menyerang Stesen Pengeluaran dan Penghantaran Linear Samara berhampiran Kampung Prosvet, sambil menyatakan kemudahan itu "memainkan peranan dalam memenuhi keperluan Angkatan Tentera Rusia."

Sementara itu Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan, pertahanan udaranya memintas atau memusnahkan 560 dron Ukraine semalaman di seluruh wilayah Rusia, Crimea, Laut Hitam dan Laut Azov.

Kementerian itu turut menyatakan pasukan Rusia menyerang infrastruktur pelabuhan dan kapal Ukraine yang didakwa digunakan bagi kepentingan tentera Ukraine, termasuk sebuah kapal kargo yang membawa bekalan berkaitan ketenteraan ke Pelabuhan Odesa.

Pengesahan bebas berhubung dakwaan daripada kedua-dua pihak kekal sukar berikutan perang yang masih berterusan.

Moscow dan Kyiv menggiatkan serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan menyasarkan  pusat logistik, pelabuhan dan infrastruktur tenaga antara satu sama lain.

Kedua-dua negara menafikan sengaja menyasarkan infrastruktur awam dan menegaskan bahawa serangan mereka ditujukan kepada sasaran ketenteraan atau kemudahan yang berkaitan dengan aktiviti ketenteraan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: Rusian, Ukraine, serangan 

Must Watch Video

Advertisement