Skip to main content

Malaysia

Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah di Tawau

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata mangsa ialah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia 13 tahun dan adik perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme berumur 10 tahun. -Foto JBPM
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata mangsa ialah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia 13 tahun dan adik perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme berumur 10 tahun. -Foto JBPM
Advertisement

TAWAU: Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria Lorong 11, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata mangsa ialah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia 13 tahun dan adik perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme berumur 10 tahun.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 6.13 pagi dan pasukan bomba tiba di lokasi pada 6.22 pagi.

Advertisement

"Anggaran rumah itu 70 peratus terbakar, ketika kejadian terdapat enam mangsa terlibat namun empat daripadanya termasuk ibu mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan rentung di bilik tingkat atas kediaman itu pada 6.43 pagi sebelum menyerahkan mayat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Advertisement

Jemishin berkata anggota bomba memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran dan tiga pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran dan api berjaya dikawal pada 7.07 pagi.

“Operasi pemadaman dan menyelamat itu melibatkan 20 anggota BBP Tawau dengan dua jentera Fire Rescue Tender, satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, satu lori tangki air serta dua kenderaan utiliti VIGO,” katanya.

Beliau berkata operasi turut dibantu lapan anggota PDRM dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu ditamatkan sepenuhnya pada 9.06 pagi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement