Ringkasan AI
- Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak pernah bersetuju surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
- Ismail hanya mengetahui pengumuman peletakan jawatan melalui media dan mengesahkan surat tersebut hanya disimpan oleh pihak parti, bukan dihantar secara rasmi.
- Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kesinambungan pentadbiran dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menegaskan beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menegaskan, beliau hanya mengetahui soal peletakan jawatan yang diumumkan oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) menerusi laporan media.
"Saya tak ada menyatakan atau memberikan persetujuan untuk surat tersebut diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
“(Saya) tak pernah setuju surat (peletakan jawatan) ini dihantar dan saya pun tak hantar sendiri surat ni kepada Tuanku,” katanya dalam sidang media khas pada Jumaat.
Ditanya sama ada beliau pernah mengemukakan sebarang surat peletakan jawatan kepada pimpinan parti, beliau tidak menafikan perkara berkenaan.
“Peletakan jawatan itu memang ada disimpan oleh pihak parti. Tapi saya tak pernah bersetuju ia dihantar dalam keadaan begini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan Tuanku Muhriz telah menitahkan supaya beliau meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kesinambungan pentadbiran serta kepentingan negeri terus terpelihara.
“Tuanku Muhriz menitahkan dalam sesi menghadap tadi agar saya meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi memastikan kesinambungan pentadbiran serta kepentingan rakyat dan negeri ini terpelihara.
“Sehubungan itu, saya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi,”katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada malam 16 November lalu mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengumuman yang dibuat menerusi media sosial kira-kira jam 10 malam itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukan Ismail dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan kemudiannya tampil menjelaskan bahawa sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa sekiranya mendapat perkenan baginda.
Pihak istana turut mengambil maklum kenyataan Zambry yang dibuat berdasarkan salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam milikannya.
Sementara itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini turut mengesahkan tidak menerima sebarang notis atau pemakluman rasmi berhubung peletakan jawatan Ismail.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan menerusi kenyataan di media sosial pada malam 16 November lalu.
Terdahulu pada Jumaat, Ismail memasuki pekarangan Istana Hinggap di Seremban pada jam 10.20 pagi bagi menghadap Tuanku Muhriz, susulan perkembangan politik negeri itu sejak awal minggu ini.