DUNIA
17 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel berhampiran tapak agihan bantuan

Kesedihan tidak dapat disembunyikan oleh ketiga-tiga wanita ini semasa menghadiri majlis pengebumian saudara mereka yang terbunuh akibat tembakan tentera Israel, pada Selasa. - Gambar Reuters
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas ditembak tentera Israel ketika ribuan penduduk yang dipindahkan menghampiri tapak agihan bantuan di tengah Gaza pada Selasa, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Pasukan perubatan memaklumkan mangsa-mangsa dikejarkan ke Hospital Al-Awda di kem Nuseirat dan Hospital Al-Quds di Bandar Gaza.
Tentera Israel dalam kenyataan berkata, mereka melepaskan tembakan amaran ke arah “suspek yang mendekati kawasan Wadi Gaza dan dianggap mengancam keselamatan pasukan tentera.”
Menurutnya lagi, tembakan itu dilepaskan beberapa ratus meter dari tapak agihan bantuan, sebelum waktu operasi bermula dan menegaskan jumlah korban yang dilaporkan pihak kesihatan tempatan tidak selari dengan maklumat yang dimilikinya.Sebelum ini, tentera Israel menuduh pejuang Hamas sengaja mengganggu proses agihan bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum operasi mereka bermula dan merujuk sebarang pertanyaan lanjut kepada pihak tentera Israel.
GHF berkata, agihan bantuan pada Selasa berjalan lancar di tiga lokasi di selatan dan tengah Gaza.
Bagaimanapun, minggu lalu tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyat Palestin supaya tidak menghampiri laluan ke tapak GHF antara jam 6 petang hingga 6 pagi waktu tempatan dan mengisytiharkannya sebagai zon ketenteraan tertutup.
Ketua Agensi Bantuan Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini mengecam sistem agihan bantuan sedia ada yang menurutnya bersifat memalukan dan tidak berperikemanusiaan.
"Hari demi hari, mangsa dan puluhan yang cedera dilaporkan di tapak agihan yang dikawal Israel dan syarikat keselamatan swasta,” katanya di platform X.
"Sistem ini memaksa ribuan rakyat yang lapar dan terdesak berjalan puluhan kilometer – sekali gus mengetepikan golongan paling lemah dan yang tinggal terlalu jauh," tambahnya.
Serangan berasingan dan rampasan bantuan
Dalam perkembangan berasingan, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Deir al-Balah, Gaza Tengah, mengorbankan lapan orang, menjadikan jumlah korban pada Selasa sekurang-kurangnya 25 orang.
Tentera Israel turut memaklumkan, satu roket yang dilancarkan dari utara Gaza ke arah wilayahnya telah berjaya dipintas, menunjukkan kumpulan pejuang masih mampu menyerang walaupun sebahagian besar senjata mereka telah dimusnahkan.
Dalam insiden lain, saksi berkata, sekurang-kurangnya 40 lori membawa tepung ke gudang PBB telah dirampas berhampiran bulatan Nabulsi di Jalan Pantai Gaza oleh penduduk terdesak dan perompak.
GHF sebelum ini memaklumkan, tiada insiden berlaku di tapak agihan mereka, namun, rakyat Palestin melaporkan kekacauan dan keganasan maut di sepanjang laluan ke lokasi bantuan.
"Saya tiba pada jam 2 pagi untuk mendapatkan makanan, tetapi ramai pulang dengan tangan kosong. Mereka kata bantuan habis dalam masa lima minit. Ini tidak masuk akal,” kata Mohammad Abu Amr, 40, seorang bapa kepada dua anak.
Israel membenarkan operasi bantuan PBB disambung semula secara terhad pada 19 Mei lalu selepas 11 minggu sekatan di wilayah yang menempatkan 2.3 juta penduduk itu.
PBB menyifatkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza sebagai "setitis air di lautan."
Perang tercetus selepas serangan pada 7 Oktober 2023 oleh pejuang Hamas yang membunuh 1,200 orang – kebanyakannya orang awam – dan menawan 251 tebusan, dalam apa yang dianggap sebagai hari paling berdarah dalam sejarah Israel.
Sejak itu, kempen ketenteraan Israel telah meragut lebih 54,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya orang awam, dan memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza, menurut angka pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami