Skip to main content

Malaysia

Nahas lori tanah dan SUV: Jenazah kanak-kanak 7 tahun selamat dikebumikan

Jenazah Iskandar Affan Ibrahim, 7 tahun, yang terlibat nahas SUV dengan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Kuang, Penaga,Pulau Pinang awal pagi tadi. Sumber: Astro AWANI
Jenazah Iskandar Affan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga,Pulau Pinang awal pagi tadi. - Foto Astro AWANI

Jenazah kanak-kanak lelaki tujuh tahun, Iskandar Affan Ibrahim, yang maut dalam nahas kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Kuang, di sini, awal pagi tadi.

Lebih 50 jemaah terdiri daripada ahli keluarga mangsa, saudara-mara, serta jiran tetangga hadir pada majlis pengebumian pada kira-kira jam 2 pagi.

Suasana hiba dan pilu sebaik jenazah dibawa ke rumah datuk mangsa, Ghazali Ismail, di Kampung Permatang Kuang, terlebih dahulu untuk tatapan dan penghormatan terakhir keluarga sebelum disolatkan di masjid.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman selepas proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) Alor Setar selesai malam tadi.

Sementara itu, lima lagi mangsa iaitu keluarga bapa saudara Iskandar Affan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Simpang Tiga Pasir, Merbok Sungai Petani 11 pagi ini.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, Iskandar Affan antara enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah SUV dan lori di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani.

Kesemua mangsa yang menaiki SUV berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga sebelum kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kejadian yang membabitkan lori yang sedang menghala ke Tikam Batu.

Selain Iskandar Affan, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27 tahun, Nora Mhd Husin, 55 tahun, Jamaliah Sannusi, 27 tahun, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21 tahun, dan Ahmad Mikail Ahmad Syafiq, 2 bulan.

Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq berusia tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kritikal.
 

Must Watch Video

Advertisement