Skip to main content

Bisnes

Konflik Asia Barat, harga bahan api yang tinggi jejas untung industri penerbangan pada 2026

Willie Walsh, director general of the International Air Transport Association (IATA), speaks at a press briefing during the annual IATA meeting in New Delhi, India, June 2, 2025. REUTERS/Anushree Fadnavis/File Photo
Willie Walsh berkata syarikat penerbangan menanggung beban kenaikan mendadak harga bahan api. - Gambar fail/REUTERS

KUALA LUMPUR: Jumlah keuntungan bersih syarikat penerbangan pada 2026 dijangka mencecah US$23 bilion (US$1 = RM4.02), iaitu separuh daripada unjuran sebelumnya, sebanyak US$41 bilion, berikutan gangguan di Asia Barat yang melibatkan peperangan dan harga bahan api yang tinggi, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun, menurut IATA, landskap serantau sangat berbeza. 

“Di pusat geografi perang Asia Barat, syarikat penerbangan di Asia Barat dijangka secara kolektifnya akan mengalami kerugian susulan permintaan yang lemah dan gangguan operasi.

“Semua rantau lain dijangka mencatatkan keuntungan, tetapi pada tahap yang lebih rendah daripada unjuran sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Jumlah pendapatan industri dijangka mencecah US$1.16 trilion pada 2026 (naik 9.4 peratus berbanding US$1.065 trilion pada 2025), manakala faktor muatan penumpang diramalkan terus mencatatkan rekod tertinggi dengan syarikat penerbangan dijangka mengisi 84.0 peratus daripada semua tempat duduk sepanjang tahun.

Ini merupakan satu peningkatan berbanding 83.5 peratus pada 2025. 

Antara lain, jumlah penumpang dijangka mencecah 5.1 bilion pada 2026 (naik 2.4 peratus berbanding 2025) dan jumlah kargo dijangka mencecah 71.7 juta tan pada 2026 (meningkat 0.2 peratus berbanding 2025).

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata syarikat penerbangan dari negara Teluk menghadapi ketidaktentuan operasi berikutan penutupan ruang udara hampir sepenuhnya ketika perang mula tercetus. 

Syarikat penerbangan itu telah melakukan tugas yang menakjubkan dalam mengekalkan ketersambungan, tetapi impak kewangan yang besar tidak dapat dielakkan. 

“Walaupun dalam keadaan terbaik, industri penerbangan secara keseluruhannya mengalami margin dan pulangan yang rendah di bawah kos modal.

“Kenaikan mendadak harga minyak telah menguji daya tahan kewangan syarikat penerbangan apabila margin bersih dikurangkan kepada dua peratus di seluruh dunia,” katanya. 

Beliau berkata syarikat penerbangan menanggung beban kenaikan mendadak harga bahan api.

“Walaupun tambang penerbangan meningkat, syarikat penerbangan masih menyerap sebahagian daripada kenaikan itu menerusi keuntungan bersih mereka.

“Keuntungan bersih bagi setiap penumpang dijangka susut kepada US$4.50, iaitu separuh daripada jumlah tahun lepas.

“Dalam keadaan ini, ia menunjukkan daya tahan, tetapi ia tidak akan membolehkan anda membeli hot dog di kebanyakan venue Piala Dunia FIDA dan ia tidak meninggalkan banyak lebihan sekiranya kos atau cukai lain mula meningkat,” kata Walsh. 

Bagi kos bahan api pula, IATA berkata ia dijangka meningkat hampir 40 peratus kepada US$350 bilion pada 2026 daripada US$252 bilion pada 2025.

Ini berdasarkan jangkaan harga purata minyak mentah pada US$95 setong (Brent) untuk tahun ini, meningkat 37 peratus daripada US$69 pada 2025.

Menurut persatuan itu, harga bahan api jet dijangka mencecah purata US$152 setong pada tahun ini, iaitu meningkat hampir 70 peratus daripada US$90 pada 2025.

“Perbezaan antara harga minyak mentah dan harga produk yang ditapis (premium untuk bahan api jet berbanding minyak mentah Brent) dijangka mencecah purata US$57 setong, iaitu paras tertinggi dalam sejarah,” kata IATA yang mewakili lebih 370 syarikat penerbangan yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global. 

— BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement