INTERNATIONAL
178 ditahan serang KFC di Pakistan

Seorang pekerja membersihkan halaman di rangkaian restoran makanan segera KFC di Karachi, Pakistan. - Foto REUTERS
KARACHI: Pihak berkuasa Pakistan menahan 178 individu susulan lebih daripada 10 insiden serangan terhadap cawangan rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS), KFC.
Serangan itu yang didorong oleh sentimen anti-AS dan penentangan terhadap sekutunya, Israel, dalam perang yang sedang berlaku di Gaza.
Polis di beberapa bandar utama termasuk Karachi, Lahore dan Islamabad mengesahkan serangan dilakukan oleh kumpulan penunjuk perasaan bersenjatakan kayu yang merosakkan premis KFC dalam sekurang-kurangnya 11 kejadian.
Seorang pekerja KFC ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali di pinggir bandar Lahore.Tiada protes dilaporkan ketika kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada pembunuhan itu bermotifkan politik atau faktor lain.
Di Lahore, polis meningkatkan kawalan keselamatan di 27 cawangan KFC selepas dua serangan berlaku dan lima cubaan serangan berjaya digagalkan.
Sejumlah 11 individu termasuk seorang anggota parti Islamis Tehreek-E-Labbaik Pakistan (TLP) telah ditahan.
Jurucakap TLP, Rehan Mohsin Khan, berkata pihaknya hanya menyeru umat Islam memboikot produk berkaitan Israel tetapi tidak pernah mengeluarkan arahan untuk melakukan protes di hadapan premis KFC.
KFC, yang dimiliki syarikat AS Yum Brands, sering menjadi sasaran kemarahan anti-AS di Pakistan sejak beberapa dekad lalu.
Penjenamaan barat termasuk Pizza Hut turut menerima kesan boikot di Pakistan serta negara Islam lain susulan serangan ketenteraan Israel di Gaza.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami