DUNIA
232 wartawan terbunuh di Gaza akibat serangan berterusan Israel

Jumlah wartawan yang terkorban di Gaza meningkat kepada 232 orang sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan pada 7 Okt 2023, menurut Pejabat Media Kerajaan di wilayah terkepung itu pada Khamis. - Gambar fail/AP
ISTANBUL/GAZA: Jumlah wartawan yang terkorban di Gaza meningkat kepada 232 orang sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan pada 7 Okt 2023, menurut Pejabat Media Kerajaan di wilayah terkepung itu pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Jumlah wartawan yang terkorban kini mencecah 232 orang sejak bermulanya perang genosid ke atas Semenanjung Gaza, susulan kematian wartawan Adam Abu Harbid," menurut kenyataan itu.
Abu Harbid bertugas sebagai jurufoto sambilan dengan beberapa agensi media, menurut pejabat itu lagi.
Pejabat media berkenaan turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menyasarkan wartawan secara sistematik di Gaza, dan menggesa Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Kesatuan Wartawan Arab serta organisasi media global untuk mengecam serangan berkenaan."Kami menganggap rejim pendudukan Israel, pentadbiran Amerika Syarikat dan negara yang bersubahat dalam genosid ini seperti United Kingdom, Jerman dan Perancis sebagai pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan ini," katanya.
Abu Harbid terbunuh bersama tiga anggota keluarganya dalam serangan helikopter Israel yang menyasarkan sebuah khemah berhampiran pasar Al-Yarmouk di Bandar Gaza, menurut sumber perubatan kepada Anadolu. Isteri dan anak-anaknya turut cedera dalam serangan itu.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 59,500 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan, melumpuhkan sistem kesihatan dan menyebabkan kekurangan makanan yang kritikal.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami