DUNIA
24 terbunuh, puluhan cedera dalam serangan udara Israel di Gaza

Israel lancar serangan ke beberapa kawasan di Bandaraya Gaza serta kumpulan penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan. - Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 24 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera awal pagi Selasa dalam siri serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Bandaraya Gaza serta kumpulan penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Wadi Gaza, tengah Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Pasukan penyelamat dan pertahanan awam menemukan lima mangsa yang terkorban di bawah runtuhan sebuah rumah yang dibom di kawasan kejiranan Sabra di selatan Bandaraya Gaza. Mayat mereka dibawa ke Kompleks Perubatan Al-Shifa bersama beberapa mangsa yang cedera.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber perubatan di Hospital Al-Awda di Nuseirat memaklumkan pihaknya menerima seramai 19 penduduk yang terbunuh dan 146 lagi cedera di hospital itu akibat pengeboman yang menyasarkan ratusan penduduk yang berkumpul untuk mendapatkan bantuan di Salah al-Din Street, selatan Wadi Gaza.
Sumber itu menjelaskan bahawa 62 daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke hospital di tengah Semenanjung Gaza untuk rawatan lanjut.Sejak 7 Okt 2023, pihak pendudukan Israel terus melakukan serangan terhadap Semenanjung Gaza yang mengorbankan puluhan ribu penduduk, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, manakala ribuan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami