DUNIA
Polis London tumpas rangkaian disyaki seludup 40,000 telefon curi ke China

Polis Metropolitan turut mendedahkan lebih 80,000 telefon bimbit dilaporkan dicuri di London sepanjang tahun 2024 dengan kawasan tumpuan pelancong dikenal pasti antara lokasi paling kerap menjadi sasaran peragut. - Gambar hiasan
LONDON: Polis Metropolitan London menumpaskan satu rangkaian jenayah antarabangsa yang disyaki menyeludup hampir 40,000 telefon bimbit curi dari United Kingdom ke China, dalam operasi yang disifatkan sebagai tindakan terbesar pernah dijalankan terhadap kes kecurian telefon di ibu negara itu.
Menurut pihak berkuasa, seramai 46 individu ditahan dalam operasi berkenaan, termasuk 11 suspek yang ditangkap ketika siasatan terhadap kumpulan penjenayah yang merompak kenderaan penghantaran membawa model terbaharu iPhone 17.
Siasatan yang dinamakan Operation Echosteep itu dilancarkan pada Disember 2024 selepas pihak polis menemui sebuah kotak mengandungi kira-kira 1,000 unit iPhone yang dalam perjalanan ke Hong Kong berhampiran Lapangan Terbang Heathrow.
Pemeriksaan lanjut mendapati kebanyakan telefon tersebut adalah barang curi.Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, operasi berkenaan menunjukkan komitmen serius pihak berkuasa membanteras jenayah terancang yang memberi kesan besar kepada penduduk dan pelancong di bandar itu.
“Ini tanpa ragu merupakan operasi terbesar seumpamanya dalam sejarah United Kingdom. Polis telah berjaya menjejaki bukan sahaja ketua sindiket penyeludupan, malah juga peragut dan pencuri di jalanan,” katanya.
Polis Metropolitan turut mendedahkan lebih 80,000 telefon bimbit dilaporkan dicuri di London sepanjang tahun 2024 dengan kawasan tumpuan pelancong dikenal pasti antara lokasi paling kerap menjadi sasaran peragut. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami