Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan 249 kes baharu COVID-19 direkodkan setakat tengah hari Rabu, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu meningkat kepada 46,878 kes.

Daripada jumlah tersebut, 16 merupakan kes jangkitan dalam komuniti, lima kes import, manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Menurut kementerian tersebut, kes jangkitan dalam komuniti dikesan dalam kalangan pemegang pas kerja, di mana empat daripada mereka merupakan kontak rapat dengan kes sebelum ini.

Bagi kes import pula, kesemua mereka telah diarahkan menjalani kuarantin sebaik tiba di republik itu.

BACA: Laluan hijau: Malaysia-Singapura benarkan rentas sempadan bersyarat

Kementerian tersebut turut memaklumkan akan memberikan lebih banyak perincian kes baharu pada Rabu malam.

Tiada sebarang kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan di Singapura hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 27.