Skip to main content
Advertisement

Dunia

27 maut dalam dua insiden tembakan rambang di Afrika Selatan

CAPE TOWN, South Africa (AP) — Two separate mass shootings in South African townships within hours of each other have left at least 27 people dead, police said on Sunday.
Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat berhubung kedua-dua serangan tersebut, namun, polis telah menggerakkan unit khas dan pasukan penyiasat bagi mengesan serta menahan suspek yang dipercayai masih bebas. - Gambar AP
Advertisement

JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam dua insiden tembakan rambang yang berlaku dalam tempoh beberapa jam di dua bandar utama Afrika Selatan, sekali gus menambahkan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah bersenjata di negara itu.

Kejadian pertama berlaku pada malam Sabtu apabila lapan lelaki bersenjata menyerbu sebuah tavern di Wedela, barat daya Johannesburg, sebelum melepaskan tembakan ke arah pelanggan yang berada di luar dan di dalam premis berkenaan.

Serangan itu mengorbankan 17 individu termasuk 13 lelaki dan empat wanita, manakala sekurang-kurangnya 15 lagi cedera.

Menurut polis, suspek dipercayai menggunakan raifal AK-47 dan pistol. 

Mereka turut merampas telefon bimbit beberapa pelanggan sebelum melarikan diri menggunakan dua kenderaan, manakala dua buah kenderaan lain dibakar di lokasi kejadian.

Kira-kira empat jam kemudian, satu lagi serangan bersenjata berlaku di Lwandle berhampiran Cape Town apabila sekumpulan penyerang melepaskan tembakan di sebuah premis hiburan yang dipenuhi pengunjung.

Insiden kedua itu meragut 10 nyawa, manakala 11 lagi mangsa cedera. Lima mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara lima lagi maut ketika menerima rawatan selepas dihantar ke hospital.

Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat berhubung kedua-dua serangan tersebut. 

Polis juga telah menggerakkan unit khas dan pasukan penyiasat bagi mengesan serta menahan suspek yang dipercayai masih bebas.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, mengutuk kejadian itu dan menegaskan pihak berkuasa akan memperhebat usaha membanteras jenayah kekerasan yang terus menjadi antara cabaran utama negara berkenaan.

Motif kedua-dua serangan masih disiasat, namun polis tidak menolak kemungkinan kejadian di Wedela mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan melibatkan kegiatan perlombongan emas haram yang aktif di wilayah tersebut.

Insiden terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas satu lagi serangan bersenjata di KwaMakhutha, berhampiran Durban, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang termasuk seorang wanita hamil.

Afrika Selatan sejak sekian lama berdepan kadar jenayah kekerasan yang tinggi, namun peningkatan kes tembakan beramai-ramai kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa masalah keganasan bersenjata di negara itu semakin memburuk. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement