Skip to main content

Dunia

Jepun kesan wabak kedua selesema burung musim ini, arah 40,000 ayam dimusnahkan

Wabak itu dikesan selepas penternak melaporkan gejala luar biasa ayam ternakan pada Khamis, sekali gus mendorong pemeriksaan dan ujian pantas yang menunjukkan keputusan positif wabak. -Gambar hiasan/Reuters
Wabak itu dikesan selepas penternak melaporkan gejala luar biasa ayam ternakan pada Khamis, sekali gus mendorong pemeriksaan dan ujian pantas yang menunjukkan keputusan positif wabak. -Gambar hiasan/Reuters
Advertisement

TOKYO: Jepun pada Jumaat mengesahkan wabak kedua selesema burung patogenik tinggi bagi musim ini di sebuah ladang ternakan ayam yang menempatkan kira-kira 40,000 ekor ayam di Wilayah Chiba, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun berkata ujian genetik mengesahkan jangkitan di sebuah ladang di Bandar Asahi pada 8 pagi waktu tempatan (11 malam GMT, Khamis).

Wabak itu dikesan selepas penternak melaporkan gejala luar biasa ayam ternakan pada Khamis, sekali gus mendorong pemeriksaan dan ujian pantas yang menunjukkan keputusan positif wabak.

Advertisement

Pihak berkuasa akan memusnahkan kira-kira 40,000 ekor ayam penelur dan melupuskan bangkainya melalui pembakaran atau penanaman bagi mengelakkan penularan lanjut.

Kementerian itu berkata zon sekatan pergerakan akan diwujudkan dalam lingkungan tiga kilometer dari ladang yang terjejas manakala sekatan penghantaran akan meliputi kawasan sehingga 10 kilometer.

Advertisement

Pusat pemeriksaan dan nyahkuman akan didirikan di sepanjang jalan utama sementara ladang ternakan ayam berhampiran akan menjalani pemeriksaan.

Pasukan penyiasatan epidemiologi juga akan dihantar bagi mengenal pasti punca jangkitan serta kemungkinan laluan penularannya.

Menurut kementerian, ibu pejabat kawalan selesema burung akan mengadakan mesyuarat bagi menyelaraskan langkah pembendungan wabak.

Pihak berkuasa turut menggesa semua wilayah agar mempertingkatkan pemantauan dan segera melaporkan sebarang jangkitan yang disyaki.

Kementerian itu bagaimanapun menjelaskan yang pengambilan daging ayam atau telur tidak menimbulkan risiko jangkitan selesema burung berdasarkan keadaan semasa di Jepun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement