LIHUE: Tiga orang maut manakala dua lagi cedera apabila sebuah helikopter pelancong terhempas di perairan Na Pali Coast, pulau Kauai, Hawaii, petang Khamis.
Helikopter berkenaan, yang dikendalikan Airborne Aviation, membawa seorang juruterbang dan empat penumpang sebelum terjunam ke laut kira-kira 90 meter dari pesisir Pantai Kalalau sekitar jam 3.45 petang waktu tempatan.
Menurut Jabatan Polis Kauai, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi yang terselamat dibawa ke Pusat Perubatan Wilcox untuk rawatan lanjut.
Advertisement
Operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh Jabatan Bomba Kauai dengan kerjasama Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), Agensi Pengurusan Kecemasan Kauai dan Jabatan Tanah serta Sumber Asli Hawaii bagi mengesan serpihan pesawat serta barangan mangsa.
Na Pali Coast merupakan kawasan tumpuan pelancong yang terkenal dengan tebing curam dan air terjun, namun hanya boleh diakses melalui udara, bot atau laluan mendaki yang mencabar.
Pihak berkuasa penerbangan persekutuan sedang menyiasat punca nahas, manakala identiti mangsa belum didedahkan sehingga proses makluman kepada waris selesai.
Sebelum ini, beberapa insiden melibatkan helikopter pelancong pernah dilaporkan di kawasan yang sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan operasi penerbangan di kawasan bentuk muka bumi yang ekstrem itu.