PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjual 19 ekor gajah kepada pihak tertentu seperti yang tular melalui media sosial adalah tidak benar dan mengelirukan.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata gajah berkenaan tidak dijual sebaliknya pemindahan secara pinjaman yang dilaksanakan bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan.
Advertisement
“Pelaksanaan pemindahan ini adalah sebahagian daripada usaha strategik jabatan dalam memastikan kelangsungan spesies sekiranya berlaku sebarang wabak penyakit (outbreak) atau bencana di habitat asal, mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta memperkukuh program konservasi melalui kerjasama dengan pihak berkaitan.
“Pendekatan ini juga penting sebagai strategi ‘insurans populasi’, iaitu penempatan sebahagian individu di lokasi berbeza dapat mengurangkan risiko kehilangan populasi secara besar-besaran akibat faktor luar jangka seperti penyakit berjangkit, kemusnahan habitat atau bencana alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kerjasama ini turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, khususnya dalam bidang pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan, pemakanan serta pengurusan habitat secara moden.
“Ini secara langsung menyokong usaha pemuliharaan spesies gajah secara lebih berkesan dan berterusan.
“Semua gajah yang dipindahkan akan terus berada di bawah pemantauan dan kawal selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Perhilitan, termasuk melalui rekod pengurusan, pemantauan kesihatan serta laporan berkala daripada pihak penerima,” katanya.
Beliau berkata pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap usaha konservasi negara.
“Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu
“Orang ramai diseru agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi NRES dan Perhilitan sahaja bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.
-- BERNAMA