BEIRUT: Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 149 cedera dalam siri serangan udara yang dilancarkan tentera Israel ke atas beberapa lokasi di Lubnan hari ini, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Angka tersebut merupakan jumlah rasmi awal yang dikeluarkan kerajaan, susulan peningkatan mendadak ketegangan rentas sempadan.
Advertisement
Serangan berkenaan menyasarkan beberapa kawasan termasuk kawasan selatan Lubnan dan pinggir selatan Beirut, yang menyaksikan puluhan letupan besar menggoncang bandar raya itu.
Laporan Reuters menyebut serangan turut memusnahkan infrastruktur awam serta menjejaskan bangunan kediaman, selain memaksa warga tempatan melarikan diri bagi mendapatkan perlindungan.
Menurut pihak berkuasa perubatan Lubnan, majoriti mangsa cedera terpaksa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan, manakala pasukan penyelamat terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengenal pasti mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan ini berlaku seiring dengan tindakan ketenteraan berskala besar oleh Amerika Syarikat dan Israel yang turut menyasarkan Iran sejak hujung minggu lalu — perkembangan yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa konflik semasa boleh mencetuskan perang yang lebih meluas di Asia Barat.