Skip to main content

Malaysia

SIC harap Petronas teruskan tajaan utama MotoGP Malaysia hingga 2031

Azhan Shafriman berkata sekiranya persetujuan dicapai, SIC berharap tempoh lanjutan tajaan itu dapat diselaraskan dengan kontrak Dorna selama lima tahun, iaitu hingga 2031. - Gambar fail
Azhan Shafriman berkata sekiranya persetujuan dicapai, SIC berharap tempoh lanjutan tajaan itu dapat diselaraskan dengan kontrak Dorna selama lima tahun, iaitu hingga 2031. - Gambar fail

Advertisement

Advertisement

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berharap Petronas dapat meneruskan komitmen selaku penaja utama Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia selepas kontrak semasa berakhir tahun ini bagi memastikan kesinambungan kerjasama strategik yang terjalin sejak 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya berharap perbincangan antara penaja utama sedia ada itu dan pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports dapat mencapai keputusan positif untuk terus bersama menganjurkan perlumbaan berprestij berkenaan.

Beliau berkata sekiranya persetujuan dicapai, SIC berharap tempoh lanjutan tajaan itu dapat diselaraskan dengan kontrak Dorna selama lima tahun, iaitu hingga 2031.

Advertisement

"Petronas merupakan satu jenama yang amat baik dan sangat sinonim dengan MotoGP. Kita berharap perbincangan itu dapat menghasilkan keputusan positif.

"Kalau boleh, kita samakan kontrak dengan Dorna sebelum ini, iaitu lima tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Advertisement

Beliau mengulas mengenai pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengarah Eksekutif MotoGP Carmelo Ezpeleta, semalam, yang antara lain berharap Petronas supaya memperbaharui komitmen tajaan MotoGP.

Azhan Shafriman berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan lanjut berhubung hasrat Petronas untuk meneruskan tajaan berkenaan, sambil menegaskan keputusan itu terletak sepenuhnya di tangan syarikat berkenaan.

Petronas mula menjadi penaja utama GP Malaysia pada 2022 selepas Shell sebelum ini memainkan peranan berkenaan.

Semalam, Ahmad Zahid berkata cadangan untuk memastikan Petronas terus menjadi penaja utama MotoGP bagi tahun-tahun akan datang, akan dibincangkan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement