Skip to main content

Malaysia

Hubungan Malaysia-Namibia diperkasa melalui jaringan rakyat

Sesi bergambar bersama anggota kor diplomatik, serta rakyat Malaysia yang bertugas di PETRONAS Angola E&P Ltd yang turut hadir dari Republik Angola. -Gambar Suruhanjaya Tinggi Malaysia
Sesi bergambar bersama anggota kor diplomatik, serta rakyat Malaysia yang bertugas di PETRONAS Angola E&P Ltd yang turut hadir dari Republik Angola. -Gambar Suruhanjaya Tinggi Malaysia

Advertisement

Advertisement

WINDHOEK: Hubungan erat Malaysia dan Namibia terus diperkukuh bukan sahaja menerusi kerjasama antara kerajaan, malah melalui hubungan rakyat yang terjalin menerusi perkongsian ilmu, pengalaman dan persahabatan yang berkekalan.

Semangat itu diterjemahkan menerusi penganjuran Hari Terbuka Malaysia 2026 oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini menerusi Program Sinergi Rakyat Malaysia (PSRM) di Windhoek International School pada 22 Oktober lalu.

Program yang menghimpunkan kira-kira 200 tetamu itu menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian budaya, warisan, gastronomi dan seni kreatif Malaysia kepada masyarakat Namibia serta komuniti antarabangsa, sekali gus mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Advertisement

Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Khornelisman Jasri berkata hubungan Malaysia-Namibia yang terjalin sejak 1990 terus berkembang merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan pendidikan.

"Kekuatan hubungan dua hala itu turut didorong oleh interaksi antara rakyat yang membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman, membina persefahaman serta mewujudkan persahabatan yang berkekalan.

Advertisement

"Persahabatan Malaysia dan Namibia bukan sekadar melibatkan kerajaan serta institusi, tetapi turut dibina melalui hubungan sesama rakyat yang menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang," katanya.

Program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan permainan tradisional, tayangan filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, kuiz bertemakan Malaysia dan cabutan bertuah yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali negara ini dengan lebih dekat.

Selain mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa, program tersebut turut menjadi medium menyatukan komuniti Malaysia di luar negara, termasuk mereka yang menetap di Angola dalam usaha memperkukuh jaringan rakyat Malaysia di rantau Afrika Selatan.

Penganjuran program seumpama itu dilihat selari dengan komitmen Malaysia untuk memperkukuh diplomasi awam berteraskan rakyat, dengan kebudayaan, pendidikan dan interaksi masyarakat menjadi jambatan penting dalam mengeratkan hubungan persahabatan di antara kedua-dua negara.

Must Watch Video

Advertisement