Ringkasan AI
- Barisan Nasional Melaka mengesahkan MCA akan bertanding empat kerusi pada PRN Melaka, termasuk dua kerusi tambahan yang dipersetujui rakan strategik seperti Pas.
- Keputusan penambahan kerusi dibuat berdasarkan rundingan bersama dan potensi kemenangan di kawasan berkenaan, menurut Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
- Dua kerusi tambahan untuk MCA ialah Kota Laksamana yang ditandingi Melvin Chua Kew Wei dan Bandar Hilir oleh Jasmine Lok Huey Yee.
MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) Melaka mengesahkan pertambahan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendapat persetujuan rakan strategik termasuk Pas.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persetujuan itu dicapai menerusi rundingan bersama dengan mengambil kira kepentingan semua pihak serta potensi kemenangan di kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan, penambahan itu menjadikan MCA bertanding di empat kerusi pada PRN kali ini, sekali gus menyaksikan BN bertanding di 23 kerusi.
“Ya, dipersetujui kedua-dua pihak untuk diserahkan kepada MCA. Jadi MCA ada tambahan dua kerusi, menunjukkan MCA akan bertanding empat kerusi, menjadikan BN bertanding 23 kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Hi-tea Jalinan Muhibah DUN Tanjung Bidara, di sini pada Jumaat.
Mengulas keputusan itu yang dimuktamadkan pada saat akhir, Ab Rauf berkata ia dibuat berdasarkan rundingan bersama serta potensi kemenangan kerusi berkenaan.
“Itu atas rundingan bersama, kepentingan bersama dan melihat kajian yang telah dibuat adalah lebih baik diserahkan kepada parti yang lebih berpotensi untuk memenangi kawasan tersebut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keputusan berkenaan tidak perlu diperdebatkan kerana ia dicapai menerusi semangat kekeluargaan dan kebersamaan yang telah terjalin sekian lama dalam BN.
Katanya, hubungan antara parti komponen itu sudah terjalin lebih 70 tahun dan sebarang perbezaan pandangan diselesaikan melalui perbincangan.
Dua kerusi tambahan bagi MCA ialah Kota Laksamana yang akan ditandingi oleh Melvin Chua Kew Wei dan Bandar Hilir yang diwakili Jasmine Lok Huey Yee.