INTERNATIONAL
36 serangan Israel di Gaza korbankan 'hanya wanita dan kanak-kanak' - PBB

Penduduk Palestin membawa barangan mereka ketika melarikan diri dari kawasan di bahagian timur Bandar Gaza, selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan, di Bandar Gaza, pada Jumaat. - Gambar Reuters
GAZA: Puluhan serangan udara Israel ke atas Gaza telah mengorbankan “hanya wanita dan kanak-kanak” selepas gencatan senjata gagal, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika satu serangan Israel di selatan wilayah itu pada Jumaat menyebabkan satu keluarga seramai 10 orang terbunuh.
Laporan pejabat hak asasi manusia PBB turut memberi amaran arahan pemindahan yang semakin meluas oleh Israel menyebabkan “pemindahan paksa” rakyat ke kawasan yang semakin mengecil, menimbulkan “kebimbangan nyata terhadap kelangsungan masa depan rakyat Palestin sebagai satu kumpulan di Gaza.”
Tentera Israel berkata, pihaknya sedang menyiasat serangan yang membunuh ahli keluarga yang sama di Khan Younis, selatan Gaza, sambil menambah mereka telah menyerang kira-kira 40 “sasaran pengganas” di seluruh wilayah tersebut dalam tempoh sehari lalu.
Israel telah menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac lalu sekali gus menamatkan gencatan senjata selama dua bulan dengan Hamas.Sejak itu, lebih daripada 1,500 orang telah terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas, yang telah disekat bantuan oleh Israel lebih sebulan lalu.
“Sepuluh orang, termasuk tujuh kanak-kanak, dibawa ke hospital sebagai syahid selepas serangan udara Israel menyasarkan rumah keluarga Farra di tengah Khan Younis,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, kepada AFP.
Rakaman AFP selepas kejadian menunjukkan beberapa mayat dibalut dengan kain putih dan selimut, manakala rakaman rumah itu memperlihatkan runtuhan konkrit dan logam yang hancur.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengecam Israel, dengan berkata: “Jika ini bukan kebiadaban, maka apakah ia?”
Awal pagi Jumaat, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk di beberapa kawasan timur Bandar Gaza sebelum satu serangan baharu dilancarkan di sana.
PBB mengecam impak serangan Israel yang berterusan, dengan mendapati bahawa “peratusan besar kematian adalah terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.”
“Antara 18 Mac hingga 9 April 2025, terdapat kira-kira 224 insiden serangan Israel ke atas bangunan kediaman dan khemah-khemah pelarian dalaman,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.
“Daripada kira-kira 36 serangan yang mana PBB berjaya mengesahkan maklumatnya, mangsa yang direkodkan setakat ini hanyalah wanita dan kanak-kanak.”
Tentera Israel berulang kali mendakwa pejuang Palestin sering bersembunyi dalam kalangan orang awam, satu dakwaan yang dinafikan oleh Hamas.
Jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani, turut menyuarakan kebimbangan terhadap “penafian akses kepada keperluan asas di Gaza dan cadangan berulang bahawa rakyat Gaza harus meninggalkan wilayah itu sepenuhnya.”
Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan selepas bertemu rakan sejawat serantau di Turkiye pula menggesa “tekanan maksimum untuk memastikan” bantuan sampai ke Gaza.
Perang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel menyebabkan 1,218 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Israel turut mendakwa Hamas menawan 251 tebusan, 58 daripadanya masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan pada Jumaat sekurang-kurangnya 1,542 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 18 Mac, menjadikan jumlah korban keseluruhan sejak perang bermula kepada 50,912 orang.
Satu gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar yang berkuat kuasa pada 19 Januari dan berlangsung sehingga 17 Mac telah menyaksikan pembebasan 33 tebusan Israel - lapan daripadanya dalam keranda - sebagai pertukaran kepada kira-kira 1,800 tahanan Palestin.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam ucapannya sempena Hari Easter sekali lagi berikrar untuk membawa pulang baki tebusan.
Beliau berucap selepas bekas Presiden AS, Donald Trump menyatakan kemajuan dalam rundingan pembebasan tebusan, memberitahu mesyuarat Kabinet pada Khamis bahawa “kita hampir berjaya mendapatkan mereka kembali.”
Utusan Trump, Steve Witkoff juga dipetik dalam laporan media Israel sebagai berkata “satu perjanjian yang sangat serius sedang dibentuk, ia hanya soal beberapa hari.”
Media Israel melaporkan pada Jumaat bahawa Mesir dan Israel telah bertukar draf dokumen mengenai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Akhbar Times of Israel berkata, cadangan Mesir merangkumi pembebasan lapan tebusan hidup dan lapan mayat sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama 40 hingga 70 hari dan pembebasan sejumlah besar tahanan Palestin.
Seorang pemimpin kanan Hamas yang enggan dikenali memberitahu wartawan, kumpulan pejuang Palestin itu “belum menerima sebarang tawaran gencatan senjata yang baharu.”
“Pergerakan ini terbuka kepada sebarang cadangan baharu yang dapat mencapai gencatan senjata, penarikan keluar tentera penjajah, dan mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.”
Dalam mesejnya sempena Hari Easter, Netanyahu berkata: “Bersama-sama kita akan kembalikan tebusan kita.”
Beliau menegaskan, tekanan ketenteraan yang lebih kuat adalah satu-satunya cara untuk membawa pulang para tebusan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami