Skip to main content

Dunia

4 lagi lapangan terbang Indonesia ditutup akibat abu gunung berapi

soekarno hatta airport
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ditutup sementara sejak 1.30 pagi Ahad selepas abu gunung berapi dikesan di kawasan lapangan terbang itu. -Gambar fail
Advertisement

JAKARTA: Empat lagi lapangan terbang di Indonesia ditutup sementara pada Ahad susulan abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau yang terus merebak, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan dan menjadikan keseluruhan lima lapangan terbang terjejas.

Ketua Pengarah Penerbangan Awam Kementerian Pengangkutan Lukman F Laisa berkata penutupan tambahan itu melibatkan Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Raden Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Budiarto di Curug dan Lapangan Terbang Pondok Cabe.

“Jadi, lima lapangan terbang ditutup. Kami terus memantau pergerakan abu ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.

Beliau berkata kementerian sedang menyelaras dengan pengendali lapangan terbang, AirNav Indonesia serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berhubung perkembangan pergerakan abu gunung berapi itu.

Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ditutup sementara sejak 1.30 pagi Ahad selepas abu gunung berapi dikesan di kawasan lapangan terbang itu.

Tempoh penutupan lapangan terbang berkenaan dilanjutkan sehingga 1.30 tengah hari waktu tempatan.

Sementara itu, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Raden Inten II dan Pondok Cabe dijadual kekal ditutup sehingga 2 petang, manakala Lapangan Terbang Budiarto sehingga 1.30 tengah hari.

Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera kekal pada Tahap III (Siaga) sejak 2 Julai, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat tahap Indonesia, dengan zon larangan sejauh tiga kilometer dikuatkuasakan di sekitar gunung berapi itu.

BMKG dalam kenyataan memaklumkan analisis satelit pada 8 pagi Ahad mengesan dua kelompok abu gunung berapi yang meliputi Banten, Jakarta dan Jawa Barat serta meluas hingga ke Bengkulu, manakala amaran penerbangan terbaharunya menunjukkan abu mencecah ketinggian sehingga 20,000 kaki (6,096 meter) dan bergerak ke arah timur serta sehingga 50,000 kaki (15,240 meter) ke arah barat.

Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Dr Wilya Yanto dalam sidang media sama berkata aktiviti letusan berterusan termasuk lontaran lava berulang kali masih diperhatikan pada pagi Ahad, meskipun kekerapannya semakin berkurangan.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Badan Geologi Indonesia Lana Saria berkata letusan berulang dan berterusan menunjukkan bekalan magma dan gas di dalam gunung berapi itu masih berlaku, namun menegaskan bahawa letusan yang kerap tidak semestinya menandakan letusan lebih besar akan berlaku.

Beliau berkata aktiviti seismik dan gegaran masih direkodkan, menunjukkan pergerakan atau pelepasan bendalir gunung berapi dalam sistem berkenaan, manakala masa, magnitud dan bentuk letusan seterusnya tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Mengenai kemungkinan tsunami, Lana berkata bukan setiap letusan Anak Krakatau akan mencetuskan tsunami, sambil menjelaskan bahawa tsunami Selat Sunda pada 22 Dis 2018 berpunca terutamanya daripada keruntuhan sebahagian besar struktur gunung berapi itu ke dalam laut.

“Berdasarkan penilaian setakat ini, struktur gunung berapi yang terbentuk semula selepas 22 Dis 2018 masih relatif kecil dan tidak dianggap berupaya runtuh pada skala yang boleh mencetuskan tsunami,” katanya sambil menambah perubahan aktiviti dan morfologi gunung berapi itu terus dipantau rapi.

Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Suharyanto berkata operasi modifikasi cuaca akan dilaksanakan pada Ahad hingga petang bagi membantu mengurangkan kesan abu gunung berapi yang menjejaskan Jakarta dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata kementerian telah mengaktifkan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan dan akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada petugas kesihatan di daerah dan bandar yang terjejas.

Beliau berkata abu gunung berapi boleh menyebabkan masalah pernafasan, mata dan kulit serta menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya berada di dalam rumah jika boleh dan memakai pelitup muka serta cermin mata sekiranya perlu keluar, manakala pusat kesihatan masyarakat telah dilengkapi dengan nebuliser dan alat pemekat oksigen, ubat titis mata serta salap kulit.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement