SEKURANG-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah konsert di Dewan Bandaraya Crocus, Moscow, pada Jumaat.

Menurut media tempatan, tembakan itu dilepaskan kumpulan lelaki bersenjata automatik, menjadikan ia serangan rambang paling buruk dalam sejarah negara itu.

Perkhidmatan Keselamatan Rusia (FSB) mendedahkan, tembakan dilepaskan berulang kali ke arah orang awam ketika berlangsungnya persembahan sebuah kumpulan muzik.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan situasi gembira bertukar hiba dan riuh apabila kawasan berkenaan dibanjiri dengan mereka yang terbunuh dan cedera.

FSB juga mendedahkan tiket konsert berkenaan telah terjual sebanyak 6,200 tiket, bagaimanapun jumlah korban yang dilaporkan hanya 40 kematian.



Sementara itu, pihak berkuasa tempatan berusaha untuk memadamkan api di bangunan tersebut dan memindahkan kira-kira 100 individu dari ruang bawah tanah.

Media Rusia turut melaporkan berlaku letupan kuat di dewan berkenaan.

Ketika ini, punca kejadian masih lagi disiasat pihak berkuasa Rusia dan masih tiada kumpulan atau entiti yang mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

Insiden ini merupakan tragedi terburuk menimpa Moscow- Gabenor

Dua minggu lalu, kedutaan Amerika Syarikat di Rusia memberi amaran bahawa sebuah kumpulan pelampau mempunyai rancangan yang akan berlaku untuk serangan di Moscow.

Ia mengeluarkan amarannya beberapa jam selepas FSB berkata ia telah menggagalkan serangan ke atas rumah ibadat di Moscow yang didakwa sebagai lokasi kumpulan militan Islam.

Bagaimanapun, Rusia mempersoalkan bagaimana AS mengetahui perkara berkenaan dan berkata Washington harus segera menyerahkan sebarang maklumat yang ada kepada Moscow, atau berhenti membuat kenyataan sedemikian.