SYDNEY: Siasatan awal mengesahkan isu pagar kurungan dipercayai membolehkan lima ekor singa keluar dari kandang mereka, kata Zoo Taronga yang terletak berdekatan pelabuhan Sydney dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, singa-singa berkenaan kini telah ditempatkan semula di kawasan kandang yang selamat sementara menunggu siasatan dijalankan. Penjaga dan doktor haiwan melaporkan kelima-lima haiwan itu dalam keadaan baik.

Situasi kecemasan berlaku pada pagi Rabu apabila lima ekor singa, seekor dewasa dan empat ekor anak, ditemui di luar kandang mereka pada 6.30 pagi waktu tempatan. Mereka dilihat berada di kawasan kecil bersebelahan kandang utama dengan pagar enam kaki memisahkan mereka dari bahagian lain di zoo berkenaan, lapor Xinhua.

Awal hari ini, pengarah eksekutif Zoo Taronga Simon Duffy memberitahu wartawan bahawa ia mengambil masa kurang daripada 10 minit selepas singa keluar dari kandang utama dan tindak balas kecemasan dilakukan.

Semua orang di lokasi dipindahkan ke zon selamat. Empat daripada singa itu kembali ke kandang mereka dengan tenang manakala seekor anak jantan selamat ditenangkan," kata Duffy, sambil menyatakan bahawa keadaan terkawal, tanpa kecederaan kepada pengunjung atau kakitangan, dan semua haiwan sedang dipantau dengan teliti.

"Mereka (lima ekor singa) bolos daripada pagar kurungan. Kami tidak mempunyai butiran tepat bagaimanapun ia berlaku. Ia akan jadi fokus tindak balas kami dengan sisatan penuh sedang dijalankan," katanya.

-- BERNAMA