Skip to main content

Dunia

5 warga Palestin terkorban di Gaza dalam serangan udara Israel - Pertahanan Awam

FILE PHOTO: A drone view shows damaged and destroyed buildings, destroyed in the Israeli military offensive, following a ceasefire between Israel and Hamas, in Khan Younis in the southern Gaza Strip January 24, 2025. REUTERS/Mohammed Salem/File Photo
Seramai 1,012 orang telah terkorban manakala 3,208 yang lain cedera di Gaza setakat ini, sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas bermula pada Oktober 2025. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

GAZA: Lima orang termasuk dua kanak-kanak perempuan terkorban dalam dua serangan udara tentera Israel yang menyasarkan sebuah apartmen dan sekumpulan penduduk Palestin di tengah dan utara Bandaraya Gaza pada Sabtu, menurut jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, Mahmoud Basal, lapor Agensi Berita Xinhua.

Pihak tentera Israel bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan udara berkenaan.

Pejabat media yang dikendalikan Hamas di Gaza pada Sabtu memaklumkan bahawa seramai 1,012 orang telah terkorban manakala 3,208 yang lain cedera di Gaza setakat ini, sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas bermula pada Oktober 2025.

Menurut pejabat berkenaan, tentera Israel hanya membenarkan 54,023 daripada 150,600 trak bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza, manakala hanya 7,417 daripada 20,600 penduduk dibenarkan merentasi wilayah terkepung itu.

Dalam perkembangan lain pada Sabtu, peperiksaan sekolah tinggi bermula secara dalam talian di Gaza yang melibatkan penyertaan seramai 37,698 pelajar, menurut Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin.

Pada masa sama, seramai 51,499 pelajar di Tebing Barat dan 1,941 pelajar Gaza yang kini berada di luar negara sedang menduduki peperiksaan mereka melalui format bersemuka seperti biasa, kata kementerian itu.

Timbalan Ketua Pengarah Peperiksaan kementerian itu, Jamal Yousef berkata peperiksaan diatur secara elektronik di Gaza memandangkan 90 peratus daripada bangunan dan kemudahan sekolah di kawasan terbabit telah musnah akibat perang.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement