57,000 keluarga di Gaza diketuai wanita hadapi tekanan melampau - PBB

UNFPA melaporkan bahawa lebih 57,000 isi rumah di Semenanjung Gaza kini diketuai oleh wanita, dengan sebahagian besar berdepan tahap kerentanan ekstrem dalam keadaan pusat perlindungan sesak, kelaparan dan penyakit. - Gambar fail/REUTERS
HAMILTON (Kanada): Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Jumaat melaporkan bahawa lebih 57,000 isi rumah di Semenanjung Gaza kini diketuai oleh wanita, dengan sebahagian besar berdepan tahap kerentanan ekstrem dalam keadaan pusat perlindungan sesak, kelaparan dan penyakit, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Sebahagian besar keluarga masih tinggal di pusat perlindungan sesak yang setiap hari diancam kelaparan dan penyakit," kata Wakil UNFPA di Palestin, Nestor Owomuhangi, pada sidang media maya sambil menggambarkan lawatannya ke hospital, ruang selamat wanita dan gadis, pusat belia serta kem perpindahan di Gaza.
Menekankan bahawa lebih 57,000 isi rumah kini diketuai wanita, beliau berkata: "Ramai daripada mereka amat terdedah kerana tiada pendapatan untuk menyara anak-anak."
Beliau turut menyorot kesan keadaan cuaca, dengan hujan musim sejuk dan banjir menambah penderitaan penduduk.
Dengan keluarga terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapatkan makanan dan air, beliau berkata penduduk kini tidak lagi meminta rumah, pendidikan atau makanan sempurna, sebaliknya hanya sebuah khemah, pemanas kecil atau lampu.
"Harapan mereka runtuh - sedahsyat bangunan yang musnah."
Merujuk kepada sistem kesihatan yang "lumpuh", pegawai PBB itu berkata hanya sekitar satu pertiga kemudahan kesihatan berfungsi sebahagian, dan semuanya kekurangan kakitangan, sesak serta kekurangan bekalan asas.
Beliau menjelaskan bahawa sistem kesihatan Gaza masih bertahan hanya kerana petugasnya enggan meninggalkannya.
Owomuhangi turut menekankan keperluan membina semula dan melengkapkan kemudahan kesihatan yang musnah serta memastikan bekalan ubat dan keperluan asas yang berterusan.
"Trauma yang dialami belia Gaza akan membentuk generasi ini. Namun tekad mereka mengagumkan," katanya.
Beliau melaporkan bahawa sejak gencatan senjata pada 10 Okt, UNFPA telah membantu 120,000 wanita dan gadis dengan perkhidmatan kesihatan reproduktif, barangan kebersihan dan bantuan untuk mangsa keganasan berasaskan gender.
Pada masa ini, UNFPA menyokong 22 kemudahan kesihatan termasuk lima hospital, 36 ruang selamat wanita dan gadis serta dua pusat perlindungan, selain sembilan hab belia. Beliau berikrar untuk menggandakan angka ini pada 2026.
Menekankan cabaran berterusan dalam penghantaran bantuan, beliau berkata akses masih menjadi masalah walaupun terdapat gencatan senjata.
"Dengan hanya tiga lintasan dibuka - dan tidak pernah pada masa yang sama - serta kerenah birokrasi yang mengekang kemasukan bekalan, kelewatan besar dalam penghantaran masih berlaku," katanya, sambil menegaskan keperluan akses kemanusiaan yang konsisten, berterusan dan selamat melalui semua lintasan masuk dan dalam wilayah itu.
"Tanpa ini, usaha pemulihan tidak dapat bergerak," katanya sambil menggesa tindakan segera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


