Ribut salji dan angin kencang melanda wilayah Timur Laut Amerika Syarikat dan Kanada menyebabkan salji tebal lebih dua meter meliputi kawasan terlibat.

Setakat ini, ribut salji itu meragut enam nyawa selain menjejaskan perkhidmatan penerbangan dan menutup jalan raya.

Majoriti penduduk di kawasan terjejas terputus bekalan elektrik.

Dianggarkan hampir sejuta penduduk terpaksa bergelap termasuk pusat perniagaan.

Selain pengguna jalan raya yang terkandas, salji tebal turut menyukarkan penduduk membuka pintu masing-masing kerana salji yang terkumpul di hadapan rumah mereka.

Syarikat penerbangan di wilayah Timur Laut dilapor membatalkan lebih 5,300 penerbangan apabila tiga lapangan terbang ditutup.

Bagaimanapun, bagi penduduk, senario itu perkara biasa yang dialami setiap tahun.

Namun, Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg meminta penduduk sentiasa berhati-hati menghadapi cuaca sejuk itu.

Amaran ribut salji buruk telah dikeluarkan sejak beberapa hari lalu dan majoriti penduduk telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.