MOSCOW: Negara-negara di seluruh Afrika dan sebahagian Asia, khususnya Asia Barat, meningkatkan import produk makanan dari Rusia susulan ketidaktentuan di Selat Hormuz serta kebimbangan terhadap fenomena iklim El Nino yang dijangka berlaku, menurut bank milik negara Rusia, Rosselkhozbank (RSHB), lapor Sputnik/RIA Novosti pada Ahad.
Fenomena perubahan suhu itu boleh mencetuskan gangguan cuaca yang ketara di seluruh dunia, menyebabkan kemarau di sesetengah kawasan dan banjir di kawasan lain.
"Dalam tempoh empat bulan pertama 2026, eksport pertanian Rusia meningkat sebanyak 4.9 juta tan metrik atau 21.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Di tengah-tengah ketidakstabilan di Selat Hormuz dan jangkaan turun naik iklim berkaitan El Nino, banyak negara di Afrika dan sebahagian Asia, terutama Asia Barat sedang meningkatkan simpanan pertanian berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan baja serta kemarau," menurut bank itu.
Menurut RSHB, eksport makanan Rusia ke China meningkat lebih satu pertiga dalam tempoh Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Mesir meningkatkan import minyak bunga matahari dari Rusia lebih 25 peratus dan kacang kuda kering sebanyak 74 peratus, manakala Algeria meningkatkan pembelian minyak kacang soya dari Rusia melebihi satu perempat, menurut RSHB.
"Pengeksport makanan Rusia menikmati beberapa kelebihan daya saing utama termasuk jumlah pengeluaran yang stabil, laluan logistik yang mantap, hubungan baik dengan pengimport di Asia dan Afrika serta, sudah tentu, kualiti produk yang tinggi.
"Ini memudahkan pengembangan mereka, termasuk ke segmen premium dalam pasaran bermargin tinggi seperti China dan dunia Arab," menurut Pusat Kepakaran Industri RSHB.
Ramalan yang diterbitkan oleh European Centre for Medium-Range Weather Forecasts pada Mei menyatakan bahawa suhu Lautan Pasifik boleh meningkat lebih tiga darjah Celsius melebihi paras normal menjelang September hingga Oktober, sekali gus berpotensi mencatat puncak suhu El Nino kedua tertinggi dalam rekod.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI