SINGAPURA: Lelaki dan wanita di kebanyakan negara ASEAN kini cenderung berkahwin pada usia lebih lewat, menurut Laporan Keadaan Keluarga ASEAN 2026 yang julung kali diterbitkan pada Selasa.
Laporan itu menunjukkan umur median bagi perkahwinan pertama meningkat dalam kalangan kedua-dua jantina, dengan lelaki mencatatkan lingkungan umur antara 24.4 hingga 31.1 tahun, manakala wanita antara 21.2 hingga 29.6 tahun.
Laporan berkenaan menggunakan statistik kebangsaan daripada 10 negara anggota ASEAN bagi meneliti trend pembentukan keluarga dan saiz isi rumah, selain tinjauan membabitkan 12,942 isi rumah di 10 bandar di rantau ini.
"Pembentukan keluarga kini berlaku pada usia lebih lewat di kebanyakan negara anggota ASEAN, manakala saiz isi rumah semakin mengecil dari semasa ke semasa.
"Golongan yang sudah berkahwin masih merupakan kumpulan terbesar berdasarkan status perkahwinan di seluruh ASEAN.
“Bagaimanapun, umur median bagi perkahwinan pertama meningkat dalam kalangan lelaki dan wanita di kebanyakan negara anggota," menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura (MSF) dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut laporan itu, purata saiz isi rumah di seluruh ASEAN turut menunjukkan penurunan, namun pada kadar yang berbeza antara negara.
Keadaan itu berkemungkinan disebabkan penurunan kadar kesuburan di rantau berkenaan, dengan banyak negara anggota mencatatkan kadar di bawah paras penggantian penduduk.
Bagaimanapun, tinjauan terhadap keluarga di 10 bandar ASEAN mendapati mereka secara umumnya melaporkan tahap daya tahan dan kesejahteraan keluarga yang sederhana hingga tinggi, selain menikmati kualiti hidup yang baik serta hubungan kekeluargaan yang erat.
"Daya tahan keluarga yang lebih tinggi didapati mempunyai kaitan dengan hubungan kekeluargaan yang lebih kukuh, kesejahteraan keluarga yang lebih baik, kualiti hidup yang lebih tinggi serta kualiti perkahwinan yang lebih baik," menurut laporan itu.
Sementara itu, MSF memaklumkan bahawa laporan berkenaan merupakan hasil utama daripada inisiatif ‘Kerjasama Memahami Keadaan Keluarga ASEAN’ yang dipersetujui pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial (AMMSWD) pada 2024.
"Dapatan laporan ini dapat membantu negara anggota ASEAN mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan tambahan kepada keluarga, selain merangka dasar dan program yang mengambil kira kepelbagaian keadaan serta keperluan mereka.
"Menjelang kepengerusian ASEAN oleh Singapura pada 2027, MSF berharap dapat bekerjasama dengan rakan serantau bagi memanfaatkan hasil penyelidikan ini dan memperkukuh sokongan kepada keluarga," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA