Ahli politik Jerman gesa tentera AS keluar susulan kenyataan Trump mengenai tarif

Rancangan penempatan peluru berpandu AS di wilayah Jerman juga digesa agar dihentikan serta-merta.
MOSCOW: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) perlu dibawa keluar manakala senjata nuklear milik negara itu harus dialihkan dari Jerman susulan pengumuman Presiden Donald Trump mengenai tarif berkaitan isu Greenland, menurut pakar dasar luar bagi Perikatan Sahra Wagenknecht, Sevim Dagdelen pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Dagdelen turut menggesa agar rancangan penempatan peluru berpandu AS di wilayah Jerman dihentikan serta-merta.
Pada Sabtu, Trump menyatakan beliau akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda, dan Finland bermula Februari ini.
Kadar berkenaan dilaporkan akan meningkat kepada 25 peratus dan kekal berkuat kuasa sehingga AS menandatangani perjanjian bagi pembelian Greenland.
"Tentera AS akhirnya harus dibawa keluar dari Jerman. Pada masa yang sama, (adalah perlu untuk mengeluarkan) bom nuklear Amerika dari Buchel. Selain itu, rancangan penempatan peluru berpandu jarak sederhana AS hanya akan menjadikan Jerman sebagai sasaran (serangan)," kata Dagdelen menerusi hantaran di laman X.
Greenland merupakan sebahagian daripada Kerajaan Denmark, namun Trump berulang kali menyatakan hasrat agar pulau itu menjadi sebahagian daripada wilayah AS.
Pihak berkuasa Denmark dan Greenland sebelum ini telah memberi amaran kepada Washington agar tidak merampas pulau berkenaan, selain menegaskan bahawa integriti wilayah mereka perlu dihormati.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


