Skip to main content

Dunia

Ahmad Zahid akan bertemu Gibran di Jakarta bincang isu jerebu rentas sempadan

Jakarta, Muzaffar Shah -- Astro AWANI
Muzaffar berkata fokus utama lain lawatan ini ialah penyertaan Ahmad Zahid dalam Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) kelima pada 18 September dengan beliau akan menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau. - Foto Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
Advertisement

JAKARTA: Isu jerebu rentas sempadan antara perkara yang akan dibincangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, perbincangan itu dijadual berlangsung dalam lawatan kerja Ahmad Zahid di Jakarta selama empat hari bermula Khamis.

Muzaffar berkata, isu jerebu menjadi tumpuan Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat susulan kebakaran hutan di Indonesia turut memberi kesan kepada Malaysia.

“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan sekiranya diminta kerajaan Indonesia, di mana kita telah pun menyediakan anggota dan juga peralatan yang berkaitan bagi membantu Indonesia dalam hal ini,” katanya dalam sidang media sesi pembuka tirai, di sini, pada Rabu.

Muzaffar berkata, Malaysia pada masa sama menghargai usaha kerajaan Indonesia menangani kebakaran berkenaan dan menyedari cabaran yang dihadapi dalam operasi pemadaman.

Selain isu jerebu, katanya, lawatan itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang halal, pembangunan desa, pengurusan bencana, isu sempadan dan maritim.

“Malaysia dan Indonesia adalah pemain utama dalam ekosistem halal dan kita berpendapat kedua-dua negara seharusnya bekerjasama dalam menerajui kerjasama yang lebih erat terutama di peringkat ASEAN dan seterusnya pembangunan halal serantau yang akan terus dikembangkan di peringkat global,” katanya.

Antara lain turut membabitkan bidang perdagangan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Fokus utama lain lawatan ini ialah penyertaan Ahmad Zahid dalam Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) kelima pada 18 September.

Beliau dijadual menghadiri majlis pembukaan selain menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau.

Menurut Muzaffar, Malaysia dan Indonesia sebagai pemain utama ekosistem halal perlu memperkukuh kerjasama bagi menerajui pembangunan industri halal di ASEAN dan seterusnya di peringkat global.

Katanya, terdapat cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN dengan Malaysia dan Indonesia sebagai penggerak utama, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Dalam perkembangan sama, Muzaffar berkata, satu memorandum persefahaman antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang dipimpin Ahmad Zahid dan Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia turut dijadual ditandatangani sepanjang lawatan ini.

MoU itu bagi memperkukuh kerjasama pembangunan desa antara kedua-dua negara.

Must Watch Video

Advertisement