Skip to main content

Malaysia

MTL: JPBM Pulau Pinang kenal pasti 51 kawasan berisiko dilanda banjir kilat

Mohamad Shoki (gambar) berkata JBPM Pulau Pinang turut mengekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan anggota di balai pada setiap masa, manakala kelulusan cuti dikawal sepanjang musim tengkujuh. - Foto Astro AWANI
Mohamad Shoki (gambar) berkata JBPM Pulau Pinang turut mengekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan anggota di balai pada setiap masa, manakala kelulusan cuti dikawal sepanjang musim tengkujuh. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang meningkatkan rondaan harian sebagai persediaan awal sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan 51 kawasan dikenal pasti berisiko dilanda banjir kilat di negeri itu, kata Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah.

Beliau berkata Seberang Perai Tengah mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 18 lokasi, diikuti Barat Daya (13), Timur Laut (10), manakala Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan masing-masing enam lokasi.

"Antara kawasan yang diberi perhatian di bahagian pulau ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Patani, Jalan Mahsuri serta sekitar Teluk Kumbar termasuk Kampung Paya dan Kampung Suluk, selain Balik Pulau.

Advertisement

"Di Seberang Perai pula, kawasan berisiko termasuk Sungai Jawi, Kampung Valdor, Sungai Juru, sekitar SP Arena, Sungai Jarak di Tasek Gelugor serta beberapa kampung di Bertam seperti Kampung Permatang Saga dan Kampung Lahar Tiang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata rondaan harian dan pemantauan berterusan dilaksanakan di kawasan tersebut bagi membolehkan pihaknya bertindak segera sekiranya berlaku banjir kilat atau kenaikan paras air sungai.

Advertisement

Dalam memastikan kesiapsiagaan operasi, Mohamad Shoki berkata JBPM Pulau Pinang turut mengekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan anggota di balai pada setiap masa, manakala kelulusan cuti dikawal sepanjang musim tengkujuh.

Beliau berkata JBPM Pulau Pinang semalam melaksanakan Hari Pengujian dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir secara serentak di semua balai bagi memastikan kesiapsiagaan aset dan peralatan menghadapi musim tengkujuh.

“Pemeriksaan itu meliputi bot penyelamat, jentera darat, kenderaan utiliti serta kelengkapan sokongan termasuk Peranti Apungan Peribadi (PFD) dan gergaji berantai. Pengujian itu penting bagi memastikan semua aset berada pada tahap optimum dan berfungsi dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Pulau Pinang juga telah menjalani latihan pengukuhan intensif di Pulau Kendi pada pertengahan Oktober lepas bagi meningkatkan kemahiran teknikal, penyelaman serta operasi pemindahan mangsa di air.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata pihaknya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana Peringkat Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat lepas bagi memperkukuh kesiapsiagaan bersama agensi berkaitan dalam menghadapi MTL 2026/2027.

Beliau berkata ia khususnya dari aspek keupayaan sumber manusia, kesiapsiagaan aset dan logistik serta penyelarasan tindakan menghadapi kemungkinan berlakunya bencana.

"Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pemantapan pelan tindak balas bencana, penyelarasan penugasan dan pengagihan sumber, kesiapsiagaan operasi menyelamat serta keberkesanan saluran komunikasi antara agensi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement