Skip to main content

Malaysia

Pembinaan struktur di Gunung Kinabalu diluluskan - Jafry

Gambar yang tular dengan dakwaan pembinaan di kawasan Gunung Kinabalu. - Foto Sinar Harian
Gambar yang tular dengan dakwaan pembinaan di kawasan Gunung Kinabalu. - Foto Sinar Harian

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pembinaan struktur di Gunung Kinabalu adalah sebahagian daripada pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang telah diluluskan pihak berkuasa.
  • Projek ini menggunakan bahan binaan ringan dan modular untuk meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar serta mematuhi semua keperluan undang-undang berkaitan.
  • Kementerian menegaskan perlindungan warisan budaya dan alam sekitar kekal menjadi keutamaan dalam setiap pembangunan di kawasan Gunung Kinabalu.
Advertisement

KOTA KINABALU: Aktiviti pembinaan struktur di Gunung Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini merupakan sebahagian daripada pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang telah diluluskan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pembangunan itu melibatkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi dan aktiviti pendakian gunung.

"Ini bukan pembangunan yang baru dirancang atau dilaksanakan tanpa perancangan. HATC pada asalnya dicadangkan di bawah Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan susulan kejadian gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.

Advertisement

"Inisiatif ini kemudiannya dihidupkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafry menegaskan bahawa projek itu telah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta mendapat sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.

Advertisement

"Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi kita.

"Sebarang pembangunan dalam persekitaran ini perlu mengiktiraf dan menghormati nilai-nilai tersebut. Peluang ekonomi dan kemajuan pelancongan tidak boleh sesekali mengorbankan warisan budaya kita," tegasnya.

Mengulas kebimbangan berhubung implikasi pembinaan terhadap alam sekitar, Jafry menjelaskan bahawa pembangunan itu menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular yang bertujuan meminimumkan gangguan terhadap persekitaran.

"Perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan asas. Kami tidak akan berkompromi terhadap integriti ekologi Gunung Kinabalu semata-mata untuk mengejar pembangunan pelancongan," katanya.

Jafry turut menegaskan bahawa kementeriannya akan memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi sepenuhnya spesifikasi yang telah diluluskan, keperluan alam sekitar yang terpakai serta undang-undang dan peraturan berkaitan.

Sebelum ini tular gambar di media sosial dakwaan aktiviti pembinaan di kawasan Gunung Kinabalu sehingga mencetuskan persoalan orang ramai. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement