BUKIT BARU: Kuasa mentadbir sesebuah negeri bukan hak kekal mana-mana parti politik, malah pengundi tidak berhutang mandat kepada sesiapa.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan perkara itu ketika membidas kenyataan seorang pemimpin UMNO yang mendakwa penyertaan parti lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hanya membuang masa, wang dan tenaga.
Menurutnya, PH tidak menafikan kekuatan sokongan yang dimiliki Barisan Nasional (BN), namun pilihan raya tetap menjadi ruang untuk setiap parti mendapatkan kepercayaan rakyat.
“Memang saya tak nafikan BN boleh menang dengan sokongan ahli mereka tetapi (untuk) PH memang kita manfaatkan pilihan raya ini untuk merayu kepada rakyat negeri Melaka untuk beri sokongan kepada PH.
“Kita hanya boleh menang dengan sokongan rakyat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.
Adly yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata, mandat mentadbir perlu diperoleh melalui keyakinan pengundi dan bukannya dianggap sebagai hak yang boleh dipertahankan selama-lamanya.
“Kuasa mentadbir bukan hak kekal mana-mana parti, pengundi tidak berhutang mandat dengan sesiapa,” katanya.
Beliau turut berkongsi mengenai seorang pengundi Bukit Katil yang sanggup pulang lebih awal dari New Zealand bagi menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini.
Baginya, kesungguhan itu membuktikan bahawa rakyat memahami nilai demokrasi serta hak mereka dalam menentukan masa depan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Adly berkata, PH mengambil kira tiga aspek utama dalam menilai kekuatan dan persediaan gabungan itu menghadapi PRN Melaka.
Aspek berkenaan merangkumi kekuatan jentera akar umbi, keupayaan calon yang diketengahkan serta tahap sokongan rakyat termasuk perubahan sentimen pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, PH menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu yang mempunyai latar belakang berbeza, termasuk dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kepelbagaian pengalaman itu menjadi antara pertimbangan penting dalam usaha menawarkan barisan kepimpinan yang mampu memenuhi keperluan rakyat Melaka.
Pada masa sama, perkembangan sokongan pengundi akan terus dinilai bagi memastikan pendekatan kempen PH kekal relevan dengan kehendak masyarakat.
PRN Melaka menyaksikan PH bertanding 24 daripada 28 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini, selepas proses penamaan calon berlangsung semalam.