Skip to main content
Advertisement

Dunia

AS akan balas serangan Iran ke atas pasukan tentera di Asia Barat - Trump

Donald Trump_REUTERS_
TRUMP: Kami akan membalas serangan mereka dengan keras. Tindakan balas pasti akan diambil. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pada Isnin bahawa Washington akan membalas serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran yang menyasarkan pasukan tentera Amerika di Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Anadolu Ajansi memetik laporan Fox News.

“Kami akan membalas serangan mereka dengan keras. Tindakan balas pasti akan diambil,” kata Trump kepada Fox News.

Beliau berkata sistem pertahanan udara AS berjaya memintas sebahagian besar serangan terbabit. Satu daripada peluru berpandu yang dikesan dikenal pasti "tidak mengancam mana-mana sasaran penting," lalu membolehkan pasukan AS membiarkannya melintasi ruang udara berkenaan, kata Trump.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada awal Isnin mengesahkan ia telah menyerang pangkalan udara King Hussein dan Azraq di Jordan menggunakan peluru berpandu balistik, di samping menyasarkan Pangkalan Udara Al Minhad di UAE menggunakan dron bahan letupan.

IRGC memaklumkan operasi itu merupakan tindak balas terhadap serangan AS di Pulau Larak pada Ahad, yang didakwa bertujuan menyekat pemasangan ranjau laut di Selat Hormuz, laluan transit minyak yang amat kritikal.

Dalam pada itu, Trump menzahirkan rasa ragu-ragu terhadap penyelesaian secara diplomatik sambil menggariskan bahawa walaupun Tehran berhasrat mengadakan pertemuan, sekatan ekonomi AS terkini sudah "mula memberi kesan yang amat kuat."

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement