Ringkasan AI
- Kimi Antonelli menjadi juara dunia F1 termuda pada usia 20 tahun selepas menamatkan GP Mexico City di tempat ketiga.
- Antonelli memecahkan rekod Sebastian Vettel dan menjadi pelumba Itali pertama menjuarai F1 sejak Alberto Ascari pada 1953.
- Max Verstappen memenangi GP Mexico City, sementara dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar dan Abu Dhabi masih belum pasti dianjurkan.
KIMI Antonelli mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula Satu (F1) termuda pada usia 20 tahun selepas menamatkan Grand Prix (GP) Mexico City di tempat ketiga pada Ahad.
Pemandu Mercedes itu mengesahkan kejuaraan dengan empat perlumbaan masih berbaki apabila kelebihan matanya tidak lagi mampu dipintas rakan sepasukan, George Russell dan pemandu Ferrari, Lewis Hamilton.
Antonelli memecahkan rekod Sebastian Vettel yang meraih gelaran dunia pada usia 23 tahun pada 2010.
Beliau juga menjadi pelumba Itali pertama memenangi kejuaraan dunia F1 sejak Alberto Ascari pada 1953.
“Terima kasih banyak, kita berjaya, kita berjaya,” kata Antonelli menerusi radio pasukan selepas mengesahkan gelaran itu.
Kemenangan GP Mexico City pula menjadi milik pemandu Red Bull, Max Verstappen yang menjuarai perlumbaan berkenaan buat kali keenam.
Perlumbaan dihentikan sementara dengan bendera merah pada pusingan ke-46 selepas Valtteri Bottas merempuh tembok di selekoh pertama susulan masalah suspensi sebelah kanan jenteranya.
Pemandu Cadillac itu berjaya keluar tanpa bantuan dan melambai kepada penonton sebelum meninggalkan litar.
Pasukannya memaklumkan Bottas menjalani pemeriksaan perubatan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketika perlumbaan disambung semula, Verstappen mendahului Charles Leclerc, Hamilton, Antonelli, Lando Norris dan Russell sebelum mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat.
Selepas Mexico, saingan F1 akan diteruskan di Brazil dan Las Vegas.
Bagaimanapun, penganjuran dua perlumbaan terakhir yang dijadualkan di Qatar dan Abu Dhabi masih belum pasti susulan ketidakstabilan di Asia Barat.