Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web independent.co.uk, pemilik The Independent, Evgeny Lebedev berkata jenama kedua-dua penerbitan itu masih kekal kerana akan menemui pembaca menerusi platform digital sepenuhnya.
“Industri surat khabar kian berubah dan perubahan itu didorong oleh pembaca. Mereka menunjukkan masa hadapan kita adalah dalam dunia digital,” kata Lebedev.
Portal BBC.com melaporkan edisi terakhir The Independent akan dicetak pada 26 Mac manakala edisi terakhir Independent on Sunday pada 20 Mac.
Dengan peralihan akhbar terkemuka itu ke edisi digital, beberapa jawatan di kedua-dua akhbar tersebut tidak diperlukan namun edisi digital ini akan mewujudkan lebih kurang 25 jawatan baharu.
The Independent diasaskan pada 1986, namun penjualannya mula menunjukkan penyorotan dalam penjualan beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Disember 2015, hanyak 56,074 naskah dijual berbanding 421,829 naskah ketika zaman kegemilangan akhbar itu pada 1989.
Pelbagai reaksi diterima di media sosial susulan laporan ini.
Walaupun sedih dengan berita ini, namun mereka tidak terkejut kerana ramai pembaca sudah memilih platform digital.
“Ini era digital,” kongsi Caroline Goldsmith.
Sebelum The Independent beralih ke platform digital sepenuhnya, ada juga netizen yang mahukan akhbar itu meningkatkan mutu laman web mereka.
Dalam era digital yang makin pesat ini, kami ingin tahu jika anda masih membeli akhbar.
Sertai undian kami dan kongsi pandangan anda di platform media sosial Astro AWANI seperti Facebook dan Twitter.