SINGAPURA: Gergasi teknologi global, Meta, secara rasmi memperluas penawaran ejen kecerdasan buatan (AI) peribadinya, Muse, ke Singapura, sekali gus menandakan kemasukan teknologi ejen AI autonomi itu ke rantau Asia Tenggara, lapor Amanz.
Pelancaran yang bermula minggu ini menyaksikan Meta membangunkan ekosistem interaksi bersepadu menerusi kerjasama dengan pelbagai platform e-dagang, perkhidmatan pengangkutan dan pelancongan serantau.
Antara rakan integrasi awal yang diumumkan ialah Grab, Shopee, Lazada, Singapore Airlines, Agoda, Klook, Trip.com dan ShopBack.
Melalui keupayaan automasi berasaskan model bahasa Muse Spark, pengguna boleh meminta use menjalankan pelbagai tugasan digital, termasuk membandingkan harga produk secara masa nyata antara Shopee dan Lazada serta menyemak pilihan penerbangan dan tempahan perjalanan secara automatik.
Muse juga boleh membantu mengurus pesanan barangan keperluan harian dan aktiviti makan menerusi GrabMart dan Grab Dine Out, selain merancang jadual perjalanan serta tempahan aktiviti pelancongan tanpa pengguna perlu beralih antara aplikasi.
Bagi meningkatkan produktiviti, pengguna boleh menghubungkan akaun Gmail, Google Calenar dan Instagram supaya Muse dapat membantu mengurus e-mel, menyelaraskan jadual serta menggunakan kandungan yang disimpan dalam platform berkenaan.
Dari segi keselamatan, Meta berkata Muse beroperasi menerusi sistem awan khas dikenali sebagai Muse Secure VM yang menyimpan kelayakan log masuk dan data perkhidmatan yang dihubungkan secara berasingan, sekali gus memastikan kata laluan serta maklumat pembayaran tidak dapat dilihat oleh ejen AI tersebut.
Muse kini boleh dimuat turun di Singapura menerusi iOS, Android dan platform web. Perkhidmatan asas ditawarkan secara percuma, manakala pelan langganan premium disediakan untuk pengguna yang memerlukan ciri tambahan.
Setakat ini, Meta belum mengumumkan garis masa rasmi pelancarannya di Malaysia.