WASHINGTON: Sekumpulan ahli kongres, aktivis dan pelakon di Amerika Syarikat (AS) melancarkan mogok lapar lima hari pada Isnin.

Mogok itu diadakan di luar Rumah Putih bagi menggesa gencatan senjata kekal di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Antara peserta mogok ialah pelakon Cynthia Nixon, Ahli Kongres dari New York dan Delaware serta aktivis dari pelbagai organisasi seperti US Campaign for Palestinian Rights (USCPR) dan Jewish Voice for Peace (JVP) selain pemimpin-pemimpin Muslim, Yahudi dan bersekutu terkemuka.

Nixon berkata seminggu selepas cuti Thanksgiving, fokus orang ramai menjadi terganggu dan lebih tertumpu kepada cuti Krismas yang akan datang pada Disember.

Beliau bimbang akibat gangguan itu, momentum untuk menghentikan pengeboman dan pembunuhan di Gaza, sama ada di AS dan secara global mungkin hilang.

"Dan kami mengadakan mogok lapar sebagai satu cara untuk menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak hanya dibom dan dibunuh tetapi mereka juga sedang kelaparan dan kini di ambang kebuluran," katanya kepada Anadolu.

Nixon berkata 70 peratus daripada hampir 15,000 rakyat Palestin yang terbunuh dalam tujuh minggu lepas adalah wanita dan kanak-kanak.

Menurut beliau situasi itu belum pernah berlaku sebelum ini.

"Angka ini jauh lebih ramai berbanding jumlah yang dibunuh oleh AS dan sekutunya dalam perang selama 20 tahun di Afghanistan," katanya.

Mogok lapar itu dibuat ketika Qatar mengumumkan lanjutan jeda kemanusiaan selama dua hari lagi di Gaza.

Bagaimanapun, peserta mogok lapar percaya jeda kemanusiaan di Gaza perlu dikekalkan

Ahli Kongres New York Zohran Mamdani berkata walaupun beliau mengalu-alukan jeda kemanusiaan dilanjutkan, langkah itu perlu dikekalkan.

"Dunia yang kami perjuangkan adalah apabila setiap keluarga bersatu. Dan satu-satunya cara mencapainya adalah melalui gencatan senjata bukan melalui pengeboman dan perang," katanya.

-- BERNAMA