TUNIS: Aktivis solidariti Gaza, Wael Naouar, dimasukkan ke hospital selepas melancarkan mogok lapar selama lebih sebulan bagi membantah penahanannya di Tunisia, menurut organisasi Gaza Sumud Flotilla yang dianggotainya.
Ketua Tunisian League for the Defence of Human Rights (LTDH), Bassem Trifi, berkata pada Rabu bahawa keadaan kesihatan aktivis itu amat kritikal dan beliau kini berada di ambang maut.
Dalam satu kenyataan di platform X, Gaza Sumud Flotilla mendakwa pihak berkuasa Tunisia enggan berkongsi maklumat mengenai keadaan Naouar dengan keluarga dan peguamnya.
Menurut organisasi itu, Naouar telah melancarkan mogok lapar selama 39 hari selepas rayuan terhadap lanjutan tempoh tahanan remannya ditolak mahkamah.
🚨 URGENT: Wael Naouar is in hospital, and Tunisian authorities are refusing to disclose any information with his family or lawyers.
This comes right after a judge REJECTED the appeal against the extension of the Sumud 4's pre-trial detention.
We hold the Tunisian authorities… pic.twitter.com/gKktcTO8oD— Global Sumud Flotilla (@gbsumudflotilla) September 23, 2026
Beliau bersama tiga lagi aktivis, iaitu Ghassen Henchiri, Ghassen Boughdiri dan Nabil Channoufi, ditahan pada Mac lalu atas dakwaan menyalahgunakan dana yang dikumpulkan bagi menyokong Global Sumud Flotilla, satu kempen antarabangsa yang bertujuan mencabar sekatan Israel ke atas Gaza.
Keempat-empat mereka masih ditahan sementara siasatan diteruskan dan belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.
Peguam Naouar dilaporkan berkata anak guamnya telah kehilangan lebih 20 kilogram berat badan serta mengalami kesakitan di seluruh tubuh akibat mogok lapar berkenaan.
Seorang anggota National Committee for the Defence of Sumud Flotilla Activists, Ghassen Bouaazi, berkata Naouar turut mengalami pengsan berulang kali, kesukaran bernafas dan halusinasi dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pada Sabtu lalu, sekurang-kurangnya 11 individu ditahan selepas menyertai protes menuntut pembebasan aktivis-aktivis yang dipenjarakan itu.
Flotila yang menuju ke Gaza itu belayar pada September tahun lalu sebelum dipintas oleh Israel.
Aktivis terbabit kemudian ditahan dan dihantar pulang ke negara Afrika Utara itu.
Sementara itu, laporan Human Rights Watch mendakwa pihak berkuasa Tunisia menggunakan siasatan kewangan dan jenayah terhadap aktivis masyarakat sivil sebagai satu bentuk tekanan.
Kerajaan Tunisia bagaimanapun menafikan pendakwaan itu bermotifkan politik, manakala Presiden Kais Saied menegaskan kebebasan dijamin, badan kehakiman bebas serta tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.