FLORIDA: Kapal laut bersejarah SS United States, yang pernah memegang rekod sebagai antara kapal penumpang terpantas di dunia, kini memulakan "kehidupan baharu" selepas dilabuhkan di dasar Teluk Mexico untuk dijadikan terumbu karang tiruan terbesar di dunia.
Projek bernilai AS$13.5 juta (kira-kira RM55 juta) itu bertujuan menarik lebih ramai penyelam dan pemancing ke perairan Florida, selain mewujudkan habitat baharu untuk pelbagai spesies ikan termasuk tuna, marlin dan ikan todak.
Kapal sepanjang 302 meter itu sengaja ditenggelamkan dalam operasi terkawal di perairan kira-kira 40 kilometer dari pantai Destin.
Sebelum proses itu dilakukan, pelbagai komponen termasuk cerobong ikonik kapal berkenaan telah ditanggalkan untuk dipelihara dan dipamerkan di sebuah muzium.
Dibina pada awal 1950-an, SS United States pernah mencipta rekod kelajuan merentasi Lautan Atlantik dan mengangkut ramai tokoh terkenal termasuk beberapa presiden Amerika Syarikat, selebriti Hollywood serta pemimpin dunia.
Pegawai projek berkata langkah melabuhkan kapal itu bukan bertujuan melupuskannya, sebaliknya memberi manfaat baharu kepada ekosistem marin dan industri pelancongan selam skuba.
Menurut laporan AP, apabila selesai tenggelam sepenuhnya, kapal itu akan menyertai ratusan terumbu karang tiruan lain di kawasan berkenaan yang menjadi antara destinasi selaman popular di Amerika Syarikat.