Skip to main content

Dunia

Alasan AS-Israel serang Iran hanya retorik berulang, tidak pernah dibuktikan - Duta

Valiollah Mohammadi Nasrabadi
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi ketika temu bual bersama Astro AWANI hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Iran menolak keras dakwaan Israel bahawa serangan ketenteraan pada Sabtu lalu merupakan tindakan pencegahan, sebaliknya menyifatkan alasan itu sebagai retorik berulang yang tidak pernah disokong sebarang bukti.

Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, tuduhan Israel kononnya Iran sedang merancang serangan terhadap negara itu tidak pernah dibuktikan secara fakta, malah digunakan setiap kali Israel melancarkan operasi ketenteraan.

Advertisement

“Mereka selalu menggunakan alasan sama. Tiada bukti Iran mahu menyerang mana‑mana negara,”

“Israel tidak boleh hidup dalam keamanan, mereka hanya boleh hidup dalam suasana perang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.

Mohammadi menegaskan Iran tidak pernah memulakan perang, sebaliknya sering menjadi mangsa serangan kuasa luar.

“Iran tidak pernah menyerang mana‑mana negara. Negara lain yang menyerang Iran. Kadang‑kadang Barat, kadang‑kadang negara jiran. Tetapi Iran tidak memulakan perang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa naratif serangan pencegahan atau pre-emptive Israel hanyalah usaha menghalalkan tindakan ketenteraan yang melanggar undang‑undang antarabangsa.

Di peringkat global, banyak pihak turut mempersoalkan justifikasi Israel, memandangkan Israel dan Amerika Syarikat melancarkan operasi itu hanya dua hari selepas rundingan nuklear Iran–Amerika Syarikat di Geneva berakhir.

Pada 28 Februari lalu, Israel mengumumkan bahawa ia telah melancarkan serangan pencegahan terhadap Iran, dengan alasan terdapat jangkaan “serangan misil dan dron dari Iran dalam masa terdekat”.

Kenyataan itu turut disahkan dalam laporan CBS News yang memetik Kementerian Pertahanan Israel yang menyatakan serangan dilancarkan bagi menyingkirkan ancaman segera terhadap negara tersebut.

Beberapa media antarabangsa termasuk The Aviationist dan The War Zone turut melaporkan bahawa serangan tersebut disertai Amerika Syarikat dan mensasarkan pelbagai lokasi strategik sekitar Tehran, termasuk kawasan berdekatan pejabat Pemimpin Tertinggi Iran.

Israel mendakwa tindakan itu perlu bagi menghalang ancaman yang “akan berlaku”, namun tidak mengemukakan bukti terperinci mengenai ancaman tersebut.

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found